Monday, September 25, 2017

Nafsu dan Akal

Ramai yang menyangka bahawa nafsu dan akal adalah bertentangan atau berbeza. Hal ini berlaku kerana salah faham dalam menterjemahkan istilah 'nafs' yang merujuk kepada diri seseorang. Setepatnya ia diterjemahkan sebagai 'jiwa'. Jiwa ada pelbagai jenis, antaranya ialah shahwaniah iaitu kehendak terhadap makanan dan pasangan. Jiwa shahwaniah inilah yang selalu kita fahami sebagai nafsu. Ada juga jiwa jenis ghadabiah, iaitu kehendak terhadap kekuasaan, kedudukan, kemuliaan dan kebanggaan. Seterusnya ada jiwa yang dinamakan aqliah, inilah yang dimaksudkan dengan nafsu akal. Kehendak bagi nafsu akal ialah ilmu, yakni pengetahuan tentang sesuatu perkara. Media massa boleh wujud dan berkembang kerana adanya nafsu akal. Manusia sentiasa ingin tahu tentang sesuatu, sekalipun sesuatu itu tiada kaitan dengannya dan tidak bermanfaat baginya. Bahkan ada yang sampai tahap ingin tahu tentang keburukan pihak tertentu, kita boleh namakannya sebagai bergosip atau mengumpat. Namun, kita perlu tahu bahawa rasa ingin tahu ada beberapa peringkat. Asasnya tiga peringkat, iaitu ingin tahu tentang alam fizikal, alam akal dan alam ketuhanan. Manusia yang rendah jiwanya hanya ingin tahu tentang alam fizikal. Yang lebih tinggi pula ingin tahu tentang alam akal. Manakala yang paling tinggi jiwanya, ia ingin tahu tentang alam ketuhanan. Adapun yang paling malang ialah, jiwa yang tidak pernah tahu dan tidak pernah sedar tentang Tuhan.


Naseer Sobree

No comments:

Post a Comment