Oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas
Rampaian Sajak, Jurnal Bahasa no. 9, 1968
Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya
dikongsikan dari nota FB Mohd Tarmizi Bin Hasrah
I
Ampun dan ma'af, wahai Mustafa!
Muhur ambai, tauladan raja
Hambamu mohon sepatah tanya
Perihal minuman haram sifatnya:
Jikalau kelak di lembah shurga
Bersama Huri bergurau senda
Boleh menonggak air durhaka
Mengapa kini – Allah mengapa! –
Sesaat saja di dunia hina
Mu'min dichegah sekesip rasa?
Kalaulah halal di alam baka
Patut tak haram didunia fana
II
Wahai budiman, wakil Ugama
Pembina Islam, pemberi fatwa
Jauhar pujaan alim ulama
Di negeri Mushrik termashhur nama.
Nampaknya engkau 'dah jauh mara
Didalam ilmu yang sulit dan wara
Tetapi silap tafsir kau bawa
Perihal minuman haram sifatnya
Kalau tak salah aku 'dah kata
Bagi si bebal haramnya nyata
Tetapi fahamkan! – bilamana
Aku menchegah si bijaksana?
III
Beribu ampun, wahai Terpuji!
Penjelas Erti Kitab nan Suchi,
Hambamu lengah menchapai erti
Tafsiran luhur katamu murni.
Jikalau benar faham menampi
Pada yang bijak izin diberi
Sabdamu sungguh mengejut hati
Menggongchang iman menjemput sangsi:
Mungkin nan bijak bersifat santri
Meneguk anggur chinta Ilahi
Kalau nan bijak demikian jadi
Hambamu mohon turut berbakti.
IV
Yang bijaksana bertopeng dua:
Satu 'tuk mesjid, yang satu pesta
Kur'an dihafal lisan membacha
Kendi 'dah tohor madang berpuasa.
Sang bijak handal bakat perwira
Bangsa dan Islam resmi dibela
Ummat bertitik peluh derita -
Putra nan bijak bermain kuda!
Si bijak sanggup menanggung dosa
Konon 'nak jamin Mu'min Tersiksa
Patutlah riuh sorak Neraka
Pemimpin baru disambut ria!
V
Wahai pesuruh ditunggu-tunggu
Jujur dianggap sahabat dan seteru,
Sabdamu tepat – hamba setuju!
Memang nan bijak demikian laku.
Jenuh dimimbar hamba berseru:
Takuti Allah, Tuhan yang Satu!
Tapi 'dah khutbah terdengar gerutu:
Lain ditakut, lain dituju.
Jelaskan lagi, wahai Pemandu!
Sifat yang benar dengan yang palsu
Bukankah sudah didalam Buku
Mu'min dituduh bebal melulu!
VI
Mu'zin memekik dari menara;
Ayuh ke Mekkah Mu'min menghala!
Haji terhuyung akibat sisa
Air sembahyang segelas – dua.
lbrahim Adham tinggalkan takhta
Dia ashikkan Wajah nan Esa
Sufi di Mushrik duduk bertakwa
Membilang tasbih memuji nama!
Juma'at berulang hamba yang setia
Berduyun khidmat di Mesjid Raya
Mengadap kiblat mimbar dan raja
Bukankah 'situ tempat berhala?
VII
Rahmat Ilahi Chiptaan Awwal!
Pesuruh akhir Tuhan yang Tunggal
Sebabnya lalai kami beramal
Memang 'dah silap negeri terkawal;
Apa 'nak buat kami pun pegal
Tawliah tersekat ada yang kepal
Jasad 'dah lemah tiada pengebal
Serangan Shaitan sukar disangkal.
Kini khabarnya rakyat tertabal
Berdaulat adil di Dewan kekal
Lemah dan kuat sama setimpal
Baik dibina buruk dibedal.
VIII
Benar, hai Talib! – apa kau dakwa
Mahkamah adil, rakyat tak papa
Yang khair kau bena, yang Sharr kau tala
Tuhanmu Rahman kan balas pahala!
Ummat yang lemah gagah perkasa
Daulat bermegah bertambah kuasa
Hamba dan Sultan tarafnya sama
Diatas takhta hamba berlaga.
Dato yang cherdas pernah meneka
Dalamnya laut dapat diduga
Pada yang karam tiada berbeza
Inchi dikira ratusan depa!
IX
Mu'min tergenggam belenggu Kafir
Akhirat luput dunia terchichir
Budaya jahil luas membanjir
Banyak yang karam tiada tertaksir
Barus dan Singkel, Pasai dan Ranir
Silam ditelan masa nan mungkir
Lupa Jawapan dihafal mahir
Bagi menyangkal Munkar dan Nakir,
Tetapi kini rakyat bertakbir
Penjajah Ulung kita 'dah usir
Islam 'dah resmi batin dan zahir
Lengan Ugama akan bertadbir!
X
Islam 'dah resmi nyata tertera
Bersurat Rumi dalam Lembaga
Tapi yang lazim bukankah ia?
Hanya sekadar dilafaz saja!
Ibarat taman merajalela
Tersebar luas semerbak bunga
Negerimu makmur menikmat laba
Faedah yang harum 'takjadi apa!
Bukankah sudah Mahdi mendakwa:
Halalkan lekas Judi Negara!
Ringgit digadai harapkan jaya
Lengan Baytu'l – Mal meraup sisa!
XI
Sifat sejarah menurut orang
Ibarat pentas pemain wayang
Cheritera lampau dihurai dalang
'Pabila tamat segera diulang.
Jika demikian mustahil pantang
Giliran Islam pula mendatang;
Zaman lampau indah gemilang
Dilayar dunia semula terbentang!
Kalau ta’gitu habislah hilang
Lampu dahulu tiadakan terang
Belalah kami – wahai Penyayang!
Tuhanku Agung tiada berbayang!
XII
Sejarah maktub dengan bahasa
Ma'na berubah mengikut masa
Jangan berabad engkau 'nak kira –
Sepuluh tahun chukuplah saja!
Tuah dahulu sekarang Jaya
Menaruh ta'at tak tentu hala
Mengabdi patung menggadai jiwa
Lakunan lampau zaman Melaka!
Bahlul berdalang berdalil buta
Hendak mengelak dosa berdusta
Kiblat dialih ke Mekkah Mulia
Adakah Allah pindah kesana!
XIII
Apa hikmatnya minuman luchah
Merata negeri dialu meriah
Jenuh dipuji sering terchurah
Sampai terdangkal tikar sejadah!
Akal keliru lisan melatah
Berat tak lalu menguchap shahadah
Demikian chetek chawan menadah
Tenggelam juga nama dan maruah.
Padahal pahit – kalau tak salah –
Dirasa manis – amboi gegabah!
Didalam Hadith ada pepatah:
Selamat insan dihujung lidah
XIV
Hikmat Salsabil pujaan dunia
Laksana Kauthar menajih jiwa
Ruh mencheraikan jasad merdeka
Pusaka bangsa ditalak tiga.
Dihujung lidah puncha bahasa
Kalau tak mahir apa 'nak kata?
Khayalnya – Allah! – sampai ke China
'Dah mabuk pening memeras kepala.
Sifat minuman lama terpuja
Dengar yang Benar hukumnya sama
Kalau tak silap pernah terkata;
Pahitnya sama bila dirasa!
XV
Sungguhnya chetek chawan kau chercha
Dalamnya karam segala mara
Hiruplah lekas Mufti Perdana
Sebelum maut menyangkal daya.
Kitab kau timbun konon dibacha
Fikih dan usul, tauhid belaka
Makam ma'rifat belum kau tiba
Hakikat lagi engkau 'nak raba!
Ibarat kisah ulangan purba
Keldai memikul beban chendana
Pinggangnya bengkok ditindih lama
Harum chendana hidung tak sangka.
XVI
Demikianlah sudah Nabi bersabda
Menjawab soal pakir utama
Konon tak faham ma'na bichara
Inginkan rahsia Tun Bija Wangsa.
Ma'na bichara mengikut gaya –
Begitulah Rasul memberi petua,
Maksud 'dah jelas seperti kacha
Kalau tak kenal pandanglah dia!
Bijak bisikan kalimat kala:
Pedas dirasa yang makan lada;
Kalau terasa pedih didada
Jangan melaung – nanti ternyata!
***
No comments:
Post a Comment