Wednesday, September 14, 2016

Manhaj Pembelajaran Ilmu Kalam Menurut Saadah Asyairah



Petunjuk penting : Bahawasanya ilmu Kalam itu wajib padanya kita mempelajari 4 perkara. 3 daripadanya adalah perbahasan pra-tujuan (المبادئ) dan yang terakhir ialah tujuan sebenarnya, iaitu perbahasan ketuhanan (الالهيات بالمعنى الأخص).

Maka perbahasan ketuhanan mempunyai perbahasan pra-tujuan yang mesti didahulukan pembelajarannya kerana telah termaktub dalam ilmu Mantik bahawa "setiap ilmu yang mempunyai perbahasan pra-tujuan, tidak boleh mempelajari ilmu tersebut melainkan mempelajari terlebih dahulu perbahasan pra-tujuannya". Ulama menyebut perbahasan pra-tujuan ini sebagai "muqaddimah perbahasan ketuhanan".

-------------------------

Jadi 4 perbahasan yang membentuk ilmu yang dinamakan ilmu Kalam :

1- Perbahasan tentang berfikir (مباحث النظر). Iaitu Mantik.

2- Perkara-perkara Umum (الأمور العامة). Iaitu perkara-perkara yang mengumumi semua yang wujud (wajib dan mumkin, jauhar dan aradh) atau sebahagian besarnya.

3- Maqulat 'Asyar. Jenis-jenis tertinggi yang meliputi semua yang wujud yang mumkin yang terdiri daripada jauhar dan aradh (الأجناس العالية المحيطة بجميع الموجودات الممكنة).

4- Perbahasan tentang zat Tuhan dan perkara-perkara berkaitan seperti sifat-sifatNya, serta perkara-perkara yang tercabang daripadanya seperti kenabian hingga ke akhir bab perkara-perkara yang didapati daripada wahyu (السمعيات).

-----------------------

Adapun apa yang berlaku sekarang iaitu pengajaran kitab Jauharah Tawhid dan syarah-syarahnya, Kharidah Bahiyah dan syarah-syarahnya dan Sanusiyah dan syarah-syarahnya, maka ini bukan pembelajaran ilmu Kalam tetapi ia adalah pembelajaran ilmu Akidah, kerana mengabaikan perbahasan pra-tujuan (no 1-3), terus kepada perbahasan tujuan (no 4).

----------------------

Oleh kerana itu, maka manhaj pembelajaran ilmu Kalam yang kami persetujui dan kami melaziminya secara berturut adalah :

Pertama : Kitab Yani'ul Azhar Mukhtasor Towali'ul Anwar bagi Imam Baidhowi, oleh Shaykh Sulayman Al-'Abd. Ia adalah kitab yang ringkas dan telah dicetak.

Kedua : Kitab Al-Taraffu' 'an Rutbatil 'Ammah bi Ma'rifatil Umur Al-'Ammah, bersama kitab Al-Sa'adah wal Bisyr bi Ma'rifatil Maqulatil 'Asyar. Kedua-duanya akan dicetak tidak lama lagi inshaAllah.

Ketiga : Misbahul Arwah oleh Imam Baidhawi.

Keempat : Thowali'ul Anwar oleh Imam Baidhawi.

Peringatan : harus bermula dengan kitab-kitab Al-Baidhawi dalam ilmu Kalam sebelum pergi kepada kitab-kitab beliau dalam ilmu Usul Feqh. Sangat elok jika dipelajari dahulu Sharhul Mathali' oleh Al-Asfahani (sharah kepada Thowali' Anwar oleh Al-Baidhawi) kemudian disambung dengan sharah Al-Asfahani bagi kitab Minhajul Usul oleh Al-Baidhawi (kitab usul feqh beliau). Akan terhasil bagimu sesuatu yang akan engkau puji aku disebabkan itu sepanjang hayat engkau dan engkau akan ingat aku selagi mana engkau hidup.

Kelima : Matan Tahzibul Kalam oleh Sa'duddin Al-Taftazani.

Keenam : Sharhul Maqasid oleh Al-Taftazani.

Ketujuh : Penutup perjalanan iaitu Kitab Nihayatul 'Uqul oleh Imam Fakhruddin Al-Razi.

Selepas marhalah-marhalah ini, maka bacalah sendiri kitab-kitab apa pun yang engkau mahu daripada kitab-kitab ulama terdahulu, kerana engkau akan memahaminya inshAllah. Adapun kitab-kitab ulama terkemudian, maka ia akan "terfahami" sendiri tanpa kepayahan dan perahan kudrat.

Peringatan : Harus setiap peringkat ini bersamaan dengan setiap peringkat bagi ilmu Mantik, dan kami akan tulis berkenaannya.

(Terjemahan dengan sedikit ubahan daripada status Shaikh Ahmad Al-Shazuli hafizahullah. Status asal : https://m.facebook.com/story.php… )


https://www.facebook.com/ahmadsyaibani.ramli/posts/1110751865674303

No comments:

Post a Comment