Saturday, October 14, 2017

Keutamaan Duduk

Suatu waktu dahulu, dalam kelas Falsafah dan pemikiran Islam, ada seorang pelajar bertanya kepada saya, perlukah dia menyertai salah satu dari gerakan2 yang ada disekelilingnya bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah? Pada masa yang sama, beberapa minggu sebelumnya ada beberapa rakannya yang sengaja tidak menghadiri kuliah saya bagi berkumpul demi menuntut keadilan untuk membebaskan pemimpin yang mereka sokong. Bagi kumpulan yang kedua saya katakan kepada mereka dalam pada menuntut bela keadilan jangan melakukan kezaliman! Pertamanya saya kata mereka telah menzalimi hak saya sebagai guru mereka, akan tetapi yang lebih utama adalah mereka telah menzalimi diri mereka untuk melengkapkan diri dengan Ilmu yang secukupnya bagi membebaskan diri dari belenggu pemikiran dan bagi mengelakkan diri dari melakukan kezaliman bila tiba giliran mereka untuk menjadi pemimpin kelak.


Saya kisahkan kepada mereka tentang satu peristiwa dizaman dahulu akan seorang Sufi dengan beberapa muridnya yang memohon nasihat saat fitnah berleluasa, maka beliau menuliskan huruf ‘Jim’ sebagai suatu isharat yang beliau tahu anak muridnya akan tafsirkan berdasarkan tahap pemahaman mereka. Maka satu darinya menganggap ia membawa maksud ‘Jabal’(gunung) yakni supaya melarikan diri kegunung dan memencilkan diri sehinggalah fitnah tersebut selesai. Yang satu lagi menganggap huruf itu membawa maksud ‘Junun’(gila) lantas beliau mengambil langkah supaya berpura-pura menyerupai orang yang kurang siuman supaya nanti tidak menjadi mangsa fitnah. Yang ketiga, dan yang saya kira yang paling utama bagi melawankan bahaya fitnah adalah ‘Jalis’(duduk) yakni pergilah duduk dengan ‘alim ‘Ulama dan ‘Awliya dalam majlis Ilmu, zikir dan menghitung-hitung diri supaya dapat membebaskan diri dari belenggu fitnah tadi, sehingga nanti tidak mudah terkeliru dan ditelan fitnah yang membanjir itu, sesuai dengan sabda Nabi; duduklah dengan para Kubara’(yakni orang-orang tua yang memiliki pengalaman) banyaklah bertanya pada Kaum ‘ulama, dan mendekat dan bermesralah dengan Hukama, yakni golongan yang memiliki ilmu dan adab yang kini sangat nadir.


Saya teringat nasihat guru kami Prof Wan Mohd Nor yang menuliskan sajak risalah untuk para aktivis kepada kami di waktu kami berkumpul di Melaka dahulu ‘ Orang muda itu ibarat kuda arab yang liar, kalau kami boleh tambat ia tentunya nanti sangat berguna demi melancarkan peperangan, jika tidak boleh sahaja yang menunggangnya terlambung tercedera dan yang sekelilingnya pun mendapat musibat!. Akan tetapi yang lebih saya gemari dari nasihatnya adalah ketika penggal pertama saya di CASIS bila dipanggil kebiliknya seraya saya langsung bertanya ‘Adakah kerana saya terlalu banyak bersoal tanya?’ maka jawab beliau ‘ Bahkan itu baik, cuma mungkin kalau saya boleh nasihatkan, terkadang jikalau kami menghidangkan kopi, tiada semestinya salahnya kopi, kalau cawannya masih terlalu kecil’ Maka saya fahami waktu itu bahawa pernyataan-pernyataan Pemikir sepertinya memakan masa untuk dihadam, kerana walaupun kelihatan singkat merupakan mutiara yang telah digilap selama puluhan tahun, tambahan pula ditadah dan peroleh melalui pelbagai keutusan akali, pelbagai kaedah dan hujah dicubanya sebelum sampai akhirnya pada maknanya! Kemudian pula bila saya menyadari akan peranan kerangka Ilmu dan pandangan Alam dalam membentuk dan membataskan ilmu yang diterima, saya kira wajar kalau ditambah, terkadang kalau cawan sedia dengan bekas minuman coklat, sememangnya si peminum tak merasa kopi tapi mocha sentiasa! Maka jelaslah bahawa tugas menuntut ilmu bukannya ringan lebih-lebih lagi bila sedar kita akan cabaran zaman. Kita harus insaf akan apa yang ditulis Imam Al-Ghazali dalam kitab ‘Ilmu.
‘Ilmu tidak akan memberikan sebahagian darinya kecuali sesudah kita memberikan seluruh upaya kita’.

https://www.facebook.com/notes/syed-muhammad-muhiyuddin-al-attas/keutamaan-duduk/10154837405512985/

No comments:

Post a Comment