Sunday, February 19, 2023

Hidup itu pada maknanya

 Bismillahi walhamdulillah
Wassolatu wassalamu'ala rosulillah

Hidup itu pada ma'nanya.
Maka setiap sesuatu dalam hidup itu tergantung pada ma'nanya.
Tanpa ma'na, kosonglah hidup.
Kekosongan itu suatu kesengsaraan.

Kesengsaraan itu suatu perasaan jauh, dalam kegelapan, sempit, dihimpit, semput, letih, terlontar, terpinggir, dihakis, berkurang, tidak lengkap, tergantung, kosong.

Hidup yang kosong dari ma'na ibarat gelas dan pinggan yang dihidangkan tanpa air, tanpa makanan. Hanya sekadar gelas dan pinggan kosong, yang dikhayal-khayalkan segar meneguknya, puas menyantapnya.

Apa ma'na makan? Jika bukanlah makanan itu yang menyegarkan dan mengenyangkan dan memberi tenaga sekiranya disuluh dengan lampu aqidah.. Maka apa gunanya makan? Apa ma'nanya?

Apa ma'nanya sibuk setiap hari bekerja, jika sebenarnya dengan suluhan cahaya ilmu haqiqi, rezeki itu sudah ditetapkan, tidak akan tersasar dari sasarannya jika sudah dibidik ketentuan Tuhan sebelum manusia diciptakan lagi? Jadi apa perlunya bekerja? Apa ma'nanya bekerja?

Apa ma'nanya berumahtangga? Sekiranya jika dinyalakan lampu tujuan kehidupan hanyalah untuk Tuhan semesta alam? Apa ma'nanya bekeluarga, berkasih sayang, beranak pinak? Apa ma'nanya?

Ada pun, bagi orang keliru, ma'na itu tergantung pema'nanya. Ia dapat bagaimana ia mahukan. Padanya ma'na makan itu pada sedapnya, pada kenyangnya, pada bosannya, pada hartanya, pada temannya. Katanya ma'na bekerja itu pada kejayaannya, pada hasilnya, pada habuannya, pada pengenalannya (recognition), pada kesukaannya. Atau katanya pada keluarga itu pada cinta-geramnya, pada kacak-comelnya, pada riuh gelak ketawanya, pada dekat-dampingannya.

Keliru kerana singkat pandangannya. Tidak mencapai kepada punca segalanya. Cawan boleh sahaja dikatakan gelas. Tetapi keliru jika tidak pernah tahu gelas itu apa puncanya.

Keliru kerana menyangkakan ma'na itu relatif, dan semuanya bahkan benar. Jika begitu, jika ma'na bagi sesuatu itu pelbagai, maka sesuatu itu tidaklah punya hakikat. Jika tidak ia punya hakikat maka adalah ia berubah-ubah mengikut setiap orang. Maka bagaimana dicapai persetujuan?

Jika baik itu pada orang kita ialah melayani orang tua dengan adab, pada orang lain pula dengan sesedap hati, maka adakah kita akan percaya kepada orang lain yang bakal kita serahkan kepercayaan memelihara orang tua kita? Bagaimana kita boleh hidup di dunia tannpa hakikat, jika ma'na itu berubah-ubah, tiada piawainya mana baik, mana buruk, mana asli mana palsu, mana betul mana salah, mana benar mana palsu?

Sedang setiap sesuatu itu ada hakikatnya, yang sabit, tidak berubah-ubah. Sehingga demikianlah baru ia dapat dikenal, dicita, dicapai. Jika bahagia itu berubah-ubah mengikut perkembangan diri, maka bila akan dicapai bahagia? Contoh jika ditanya bahagai itu apa dan bagaimana mencapainya dijawabkan: bahagia itu ialah kaya dan bila dicapai gaji 10,000 sebulan. Maka apakah benar bila mencapai angka itu kita akan bahagia? Apakah akan berubah pula bahagia ialah mencapai 100,000 sebulan? Dan kemudiannya 1,000,000 sebulan? Bila akan dicapai bahagia jika ianya berubah-unah? Ibarat tiang gol yang sentiasa bergerak, bagaimana kita menjaringkannya?



No comments:

Post a Comment