Wednesday, June 7, 2023

Perbezaan Murid dan Murad dalam Ilmu Tarikat

 (FAEDAH) PERBEZAAN ANTARA MURID DAN MURAD DALAM ILMU THORIQAT.


Syeikhuna Tuan Guru Syeikh Ibrahim Masran Al-Banjari Hafizahullah ketika menjelaskan istilah Murid dan Murad, beliau berkata:


“Istilah Murid dan Murad ini mempunyai makna yang berbeza dalam ilmu thoriqah. Para ulama’ tasawwuf telah menjelaskannya dalam kitab-kitab karangan mereka. Di antaranya ialah Sultanul Auliya’ Saiyidi Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani radhiyallahu ‘anhu dalam kitabnya Al-Ghunyah. Boleh rujuk dalam kitab tersebut.


Diriwayatkan bahawa Al-Imam Al-Junaid radhiyallahu ‘anhu pernah ditanya mengenai Murid dan Murad. Lalu beliau menjawab:


المريد تتولاه سياسة العلم، والمراد تتولاه رعاية الحق


"Murid dilindungi oleh siyasatul 'ilm, sementara Murad dilindungi oleh ri'ayatul Haqq, yakni Allah.


Imam Al-Junaid radhiyallahu ‘anhu juga berkata:


المريد يسير، والمراد يطير، فمتى يلحق السائر الطائر؟


“Murid itu berjalan, sementara Murad itu terbang. Maka bilakah orang yang berjalan mampu mengejar orang yang terbang?”


Daripada kenyataan Imam Al-Junaid ini, rahimahullah, kita dapat lihat bahawa perbezaan makna istilah Murid dan Murad ini adalah perbezaan yang merujuk kepada maqam, darjat dan kemuliaan seseorang salik ilallah.


Selain itu, para ulama’ tasawwuf mengatakan perbezaan antara Murid dan Murad itu, dengan bahawa:


• Murid itu mencari, sementara Murad itu dicari.


• Murid itu maujud, sementara Murad itu fan, yakni lebur.


• Murid itu mendekat, sedangkan Murad itu didekati.


• Murid itu dilindungi, sementara Murad itu melindungi, atau diminta perlindungan dengannya.


• Murid beramal dengan meniti satu jalan, sedangkan Murad di atas keseluruhan jalan.


• Murid memandang dengan cahaya Allah, sementara Murad memandang dengan Allah.


• Ibadah Murid adalah mujahadah, sementara ibadah Murad adalah mauhibah, yakni anugerah atau pemberian Allah.


• Murid mengerjakan amal dengan memandang imbalan, sementara Murad tidak memandang amal, bahkan memandang semuanya itu adalah taufiq dan anugerah Allah.


• Murid melakukan aktivitinya atas dasar perintah Allah, sementara Murad pula dengan perbuatan Allah.


• Murid menentang hawa nafsunya, sementara Murad bebas dari kehendak dan angan-angannya.


• Murid adalah mubtadi, sementara Murad adalah muntahi. Yakni Murid itu adalah pemula dalam perjalanannya menuju Allah, sementara Murad itu adalah orang yang sudah sampai di kemuncak jalan.


• Murid itu masih mendaki, sementara Murad itu sudah wusul dan sampai kepada Tuhan yang merupakan capaian tertinggi. Dan di sisi Tuhan, dia mendapatkan segala hal yang istimewa, yang berharga, yang lembut dan yang murni, sehingga melampaui setiap ahli ibadah yang taat, suka mendekatkan diri, berbakti, dan bertakwa.


• Murid diuji dengan kelelahan, sementara Murad diperlakukan dengan kelembutan.


• Murid adalah orang yang menerima kesusahan, keletihan dan tidak sunyi dari mengalami penderitaan, sedangkan Murad adalah orang yang menerima perintah dan menghadapi segala sesuatu tanpa merasa beban.”


Kata syeikhuna: “Dan ini sudah menjadi sunnatullah bahawa salik yang masih mubtadi perlu menempuh jalan mujahadah untuk wusul kepada-Nya. Jika sudah mencapai-Nya, maka segala beban itu akan dihilangkan daripada dirinya. Maka dia pun mendapat keringanan dalam menjalankan berbagai amalan nafilah dan meninggalkan syahwat.


Nah, ketika itu, dia hanya mencukupkan dirinya dengan ibadah fardu dan mengurangkan kesibukan ibadah sunnah. Hati dan maqam ruhaninya tetap terjaga. Batinnya terputus dari hubungan dengan selain Allah. Dia tidak lagi memerhatikan hati-hati manusia. Secara zahiriah dia kelihatan bercampur-baur bersama makhluk Allah, namun pada batinnya dia tetap bersama Allah Azza wa Jalla.


Lisannya selalu berhias dengan hikmah-hikmah Allah. Hatinya dipenuhi dengan ilmu Allah. Lisannya digunakan untuk menasihati hamba-hamba Allah. Sir di dalam hati nuraninya diberi kepercayaan untuk menjaga titipan-titipan Allah.

No comments:

Post a Comment