Tawadu’ (تواضُعُ) adalah ‘keadaan seseorang menundukkan diri, meletakkan diri di peringkat rendah’. Kata nama ini diambil dari kata kerja tawada’a (تواضَعَ) dari wazan bahasa Arab (تفاعَلَ). Kata akar perbuatan ini ialah (وَضَعَ) yakni ‘letak; meletakkan’.
Menurut al-Qushayri dalam Risalah al-Qushayriyyah, tawadu’ ialah ’penyerahan kepada kebenaran’ (الاستسلام للحق), manakala menurut Fudayl bin ‘Iyad, tawadu’ ialah ‘tunduk kepada kebenaran’ (تخضع للحق).
Apabila seseorang itu dikatakan tawadu’, dia harus merendahkan diri kepada kebenaran.
Tawadu’ bukan hanya ‘berpura-pura merendah diri, memakai pakaian compang camping, nampak lemah dan tidak terganggu dengan duniawi supaya digelar tawadu’. Tetapi ini juga tidak mustahil memang salah satu makna wazan تفاعل ialah ‘berpura-pura’. Sebagai contoh, ‘tidur’ (نام), ‘pura-pura tidur’ (تنَاوَمَ).
Begitu juga tawadu’ bermaksud ‘tahu meletakkan maruah diri di tempatnya yang betul’. Khususnya juga orang berilmu, iaitu tahu di mana mahu menyampaikan ilmu, tahu khalayak ilmunya, tahu dengan siapa berkawan, tahu bila mahu berdebat dan sebagainya. Paling penting juga, tahu meletakkan diri di ‘medan peperangan’ yang sebenar.
No comments:
Post a Comment