Tuesday, March 28, 2017

Al Riya` - Siri 2


Siri:2 : PERKARA-PERKARA YANG DIRIYAKKAN

Setelah mengetahui tentang hakikat riyak itu adalah 'MENGKEHENDAKI KEDUDUKAN (yakni kemuliaan & ketinggian, kepujian & kemasyhuran, pangkat & pengikut, harta-benda & kemewahan, dsb) DENGAN KETAATAN DAN IBADAH TERHADAP ALLAH 'AZZA WA JALLA, ketahuilah pula, bahawa perkara-perkara yang diriyakkan itu banyak, namun terhimpun di dalam ENAM JENIS;

1. TUBUH BADAN
Menzahirkan KURUS & PUCAT supaya disangka sedikit makan dan banyak berlapar, NAMPAK SEDIH supaya disangka sangat membimbangkan perkara agama, RAMBUT KUSUT MASAI supaya menunjukkan dia banyak menghabiskan masanya sibuk dengan urusan agama hingga tak sempat menguruskan diri, BIBIR KERING supaya diketahui orang tentang puasanya, SUARA PERLAHAN, supaya menunjukkan lemah badannya kerana sangat kuat bermujahadah.

2. KELAKUAN
Seperti mencukur @ menipiskan misai, menundukkan kepala ke bumi ketika berjalan, tenang dalam setiap pergerakan tidak gopoh-gapah, membiarkan kesan sujud di muka tanpa dibuang, seperti debu tanah dan seumpamanya, memejamkan mata, SUPAYA DISANGKA bahawa dia sedang kasyaf, atau sedang menyelam ke dasar fikiran.

3. PAKAIAN
Seperti memakai baju yg diperbuat daripada bulu binatang, dan baju kain kasar, memendekkan kain, kaki seluar @ jubah hingga hampir pertengahan betis (bagi lelaki), lengan baju senteng, membiarkan pakaian yg koyak dan berdaki, SUPAYA MENUNJUKKAN habis waktu lapangnya hingga tak sempat untuk menjahit & membasuh. Memakai pakaian resam para sufi dan solat atas sejadah, SUPAYA DISANGKAKAN dia sebahagian daripada ahli tasawwuf, sedangkan dirinya MUFLIS daripada hakikat tasawwuf! Pakai jubah, selendang, meluaskan lengan baju, SUPAYA DISANGKA dia orang 'alim. Pakai serban, kain kelubung, sarung kaki, SUPAYA DISANGKA dia zuhud, kerana sangat memelihara kebersihan diri daripada debu-debu jalan.

4. KATA-KATA
Seperti riyak para pemidato, penceramah, pengkhutbah, pemberi nasihat dan peringatan, dengan sengaja mengelokkan sebutan lafaz-lafaz dan mengindahkan lenggok bahasa, berbicara kata-kata hikmah, perkhabaran dan cerita daripada salafus solihin, beserta melembutkan suara, menzahirkan kesedihan, sedangkan hakikat dirinya KOSONG! Tiada keikhlasan dan kejujuran di hatinya, bahkan semata-mata HENDAK DISANGKA dia IKHLAS & BENAR BERBICARA. Maka dia menzahirkan kesedihan di khalayak ramai, tetapi memaksiatkan Allah ketika bersendirian. Juga seperti yang mengaku dirinya sebagai penghafaz hadith, banyak bertemu ulama, bersegera menentukan status hadith, ini sohih.. ini dhoif.. ini palsu, SUPAYA DISANGKA luas ilmunya. Juga seperti mengkumat-kamitkan bibir dengan berzikir, amar makruf nahi mungkar depan orang, sedangkan KOSONG HATINYA tanpa sebarang rasa sakit hati bila tengok maksiat.

5. AMAL IBADAT
Memanjangkan tempoh berdiri solat, mengelokkan rukuk dan sujud, menundukkan kepala, tidak berpaling, bersedekah, berpuasa, tunai haji umrah, berjalan dengan khusyuk dan tawadhuk, meredupkan mata, sedangkan Allah Maha Mengetahui batinnya yg sebenar, kalau dia sendirian, dia tak buat pun! Bahkan solat ala kadar acuh tak acuh! Tapi bila sedar ada orang lain tengok atau tahu, dia pun buatlah elok-elok, SUPAYA DISANGKA dia sedang khusyuk!

6. RAMAI MURID, GURU, TAULAN & PENGIKUT
Seperti banyak menyebut nama-nama alim-ulama SUPAYA DISANGKA dia banyak bertemu ulama, begitu juga seperti orang yang suka dia diziarahi ulama dan pemimpin, SUPAYA DISANGKA dia orang yang berkat, ulama dan pemimpin pun hendak menumpang keberkatannya.

Maka inilah PERHIMPUNAN PERKARA YANG DIRIYAKKAN PADA AGAMA. Kesemuanya itu HARAM, bahkan tergolong dalam kategori DOSA BESAR!

AWAS !!!

No comments:

Post a Comment