Sunday, October 2, 2016

Perkongsian Kelas Mantiq

#Sebahagian Perkongsian Kelas Semalam.
Selebihnya khas untuk yang hadir.

Etimologi Mantik

Kata mantik (منطق) berasal dari bahasa arab yang diambil dari kata نُطق (nutq), bermaksud bicara, kata atau kalam. Huruf “ م” pada kata “منطق” sama ada huruf tambahan dari “مصدر میمی” yang memberi maksud pengesahan dan tambahan pada kuantiti atau kualiti makna. Jika huruf tambahan mim tersebut diperkirakan sebagai masdar mimi maka diterjemahkan kata mantik akan membawa maksud; sebenar-benar bicara. Dapat diperkirakan juga bahawa tambahan huruf mim itu adalah ‘isim makan’ ( kata tempat) dari ‘wazan’ مَفعَل sama seperti kata مسجد (masjid) iaitu tempat sujud, jadi disini membawa erti tempat bicara. Di dalam kamus lisan al-Arab منطق disinonimkan dengan کلام yang bererti ‘kata’ atau bicara, dan makna ini biasanya hadir dengan sifat ‘haq’ di dalam Alquran karim seperti firman Tuhan di dalam surah Mukminun ayat 62; ( ولدینا کتاب ینطق بالحق ) “disisi Kami kitab yang berkata-kata\berbicara dengan haq” atau dalam surah Al-Jatsiyah ayat 29; (هذا کتابنا ینطق علیکم بالحق ) “ Inilah kitab Kami yang berbicara kepadamu dengan haq” manakala bicara dari Rasul adalah bebas dari hawa nasf Najm ayat 3; (و ما ینطق عن الهوی) “Dan tidaklah dia mengatakannya itu dari hawa nafsu”. Ketiga-tiga ayat secara tidak langsung menyatakan ada justifikasi antara kebenaran dan kepalsuan dalam bicara, manakala kebenaran pula di timbang-tara dengan logik sebagaimana anda dapati di dalam perbahasan ilmu mantik ia berkaitan dengan premis yang dapat dijustifikasikan sama ada benar atau tidak, Ibnu Sina di dalam risalah mantiknya iaitu donesh-nomehyei I’layie memberi definisi premis sebagai berikut;
و این آن بود که چون بشنوی شاید که گویی راست است و شاید که گویی دروغ است
“ Dan ini adalah sebagaimana kamu mendengarnya (premis) sama ada kamu membenarkan atau barangkali kamu menafikan”
Kata akar ini juga memberi maksud ‘tutur’, sebagaimana firman Tuhan di dalam surah An-Naml : 16; (علمنا منطق الطیر) “ kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung”.

Sebelum era penterjemahan ilmu di dalam dunia islam kalimah mantik hanya memberi makna tutur, kata atau kalam dikalangan orang arab, namun di era terjemahan ilmu kepada bahasa arab iaitu di akhir kurun ke-tujuh masihi kata mantik membawa makna yang baharu dan sinonim dengan terjemahan kata logike dari kata logos iaitu bahasa yunan λόγος yang memberi makna ‘berfikir’, ‘hujah’, ‘akal’, intelektual atau kata yang memiliki alasan akal. Kata λόγος dari kata akar λέγω ‎(légō) yang memberi maksud ‘ Saya kata’, kemungkinan penterjemahan kepada bahasa arab ketika itu melihat persamaan dari sudut makna lafaz bukan pada istilah. Di dalam buku Al-mantiq Al-Suuri wa Al-Riyadhi oleh abdul rahman baidawi menyebutkan kata logike atau di dalam bahasa inggerisnya ‘logic’ membawa maksud istilah bagi ilmu logik Aristotle kerana ketika di zaman Andronicus dari Rhodes kata logike dimaksudkan adalah Organon Aristotle untuk membezakan mantik dialetik oleh Stoicism. Apa pun kata logik yang membawa maksud istilah ini telah digunakan oleh Marcus Tullius Cicero (63BC), Alexander dari Aphodisias (200 M) dan Galenus (129-200 M) sehingga ia meluas pengunaan tersebut di era kurun ke-2 masihi.
Oleh demikian ahli mantik cuba menjustifikasikan hubungan kata ‘mantik’ yang bermaksud ‘kata’ itu pada maksud rasional dengan membahagikan kalam itu kepada dua iaitu zahir dan batin. Di dalam kitab الحاشیة ملا عبدالله menjelaskan bahawa نُطق itu memiliki dua bahagian;
1) نُطق zahir iaitu : تکلم (berbicara)
2) نُطق batin iaitu : تفکر . (berfikir)
تکلم (takallum) bermaksud bercakap atau dalam erti kata yang lain “ انتقال ما فی الضمیر” memindahkan atau mengungkapkan sesuatu dari lubuk jiwa adalah ungkapan kata-kata yang menzahirkan alam makna dari bentuk fikiran. Ia adalah ciri khusus yang membezakan manusia dengan haiwan dan kehidupan yang lain di muka bumi ini. Kesimpulannya kata mantik yang dimaksudkan disini adalah نُطق batin.

Sekilas Sejarah Ilmu Mantik
Setelah Alexander (323SM) meninggal dunia di Babylon maka berlaku pergolakan anti-Macedonia di Athens. Aristotle iaitu guru bagi Alexander juga terkesan dengan ancaman ini mencari perlindungan di Chalcis, sebuah bandar di Pulau Euboea, setahun kemudian beliau meninggal dunia. Pergolakan sosial dan politik yang berlaku di Athens telah membantutkan perkembangan akademik sekolah peripatetik Aristotle (peri=pinggir path=jalan: kerana kebiasaan Aristotle mengajar sambil berdiri di tepi jalan) di Lyceum. Walau pun masih terdapat guru-guru dan murid-murid yang terkenal di sekolah tersebut namun tiada idealogi atau mazhab baharu yang lahir dari madrasah pemikiran Aristotle, cuma terdapat ramai pensyarah yang membuat komentara huraian detail dan mengemaskini turath peningalan Aristotle sehingga berabad tahun lamanya. Diantara pensyarah yang terkenal turath Aristotle di Athens adalah Alexander dari Aphrodisias yang hidup diera pemerintahan Lucius Septimius Severus (145-211M). Dialah yang banyak memberi pengaruh pemahaman ilmu turath Aristotle kepada ahli mantik muslim dan juga iskandariah, antara komentar terkenal beliau adalah Analytica priora Aristotelis.
Madrasah Iskandariah.
Iskandariah adalah sebuah kota yang kedua terbesar di mesir selepas Kaherah terletak di pinggiran laut Mediterranean yang diasaskan oleh Iskandar Agung. Setelah kematian Iskandar Agung (Zulkarnain), wilayah pemerintahannya dibahagikan kepada beberapa orang jeneralnya antaranya adalah Ptolemy\Ptolemaios I Soter (367SM-283SM) bagi pemerintahan di Mesir. Soter seorang yang minat pada keilmuan dan menyambut kehadiran tokoh-tokoh ilmuan ke iskandariah maka banyak cendiakawan-cendiakawan di Athens berpindah ke iskandariah bila berlaku kekacauan politik disana khususnya penaklukan Rom ke atas yunan. Soter adalah orang pertama membuka sekolah di bandar Iskandariah dan kemudian anaknya meneruskan lagi perkembangan aktiviti keilmuan ini dengan membuka perpustakaan yang besar di kota tersebut. Di bandar Iskandariah aktiviti keilmuan mulai subur dari kurun ke-2 SM sehingga awal kurun ke-4 M dengan pertumbuhan beberapa institusi pendidikan sehingga ia dikenali sebagai penganti warisan ilmu dari Athens. Sepanjang kurun ke-2 M perkembangan ilmu mantik di kalangan ahli mantik kurang menonjol sehingga munculnya tokoh falsafah bernama Plotinus (204\5-270) dari sekolah pemikiran Neoplatonism yang diasaskan oleh Ammonius Saccas, guru Plotinus. Plotinus cenderung kepada Mistisisme dan fasafah timur, gabungan dari mistisisme falsafah timur dengan falafah yunan khususnya parepatetik menghasilkan falsafah Neoplatonism, maka kolaborasi dua buah pemikiran ini ilmu mantik diberi penekanan dalam membina hujah-hujah falsafah. Dari sini lahirnya karya Isagoge atau mukadimah bagi risalah Categoriae Aristotle oleh Porphyry (234-305M). Ilmu mantik mula mendapat perhatian di madrasah Iskandariah sehinggalah diperkirakan kurun ke-2M kesemua risalah-risalah mantik Aristotle dibukukan dan diberi nama Organon.
Setelah dari fasa ini, kebanyakan ahli mantik dari dunia islam mahu pun suryani atau Syiriac banyak membuat rujukan ilmu mantik dari komentar dan syarahan dari madrasah Iskandariah ini. Namun suasana keilmuan ini tidak bertahan selamanya kerana berlaku pergolakan politik disebabkan pemerintahan yang zalim dan juga penjajahan dari Rom sekaligus dominasi pengaruh agama nasrani maka menambahkan lagi foktor pergolakan dalam sosial di Iskandariah ketika itu. Suasana ini telah memberi kesan negatif bagi perkembangan ilmu di iskandariah dan kemuncaknya ketika kerajaan Rom iaitu pada 313M mengumumkan agama kristian sebagai agama rasmi dan disebabkan ketaksuban agamawan pada mazhab mereka maka ilmu mantik dan falsafah diharamkan pengajarannya.

Al-Farabi mengambar peristiwa ini; “ Setelah berlakunya peristiwa ini ( kemasukan Rom ke Iskandariah) dua tempat ini masih menjadi pusat pendidikan, namun setelah agama nasrani mula mendominasi pemerintahan Rom, pengajian ini sudah pupus”. Sehinggalah pada tahun 451M berlaku hukuman bunuh ke atas cendiakawan Neoplatonism maka banyak cendiakawan dari madarasah Iskandariah mencari perlindungan di tanah farsi dan juga turki.

Dari Iskandariah hingga Antokya
Bandar Antiokhia\Antokya berada zaman kegemilangan ilmunya ketika pemerintahan Antiochus IV Epiphanes (175BC-164BC) dan menjadi pusat kelahiran cendiakawan-cendiakawan nasrani dan boleh dikatakan gereja pertama disini. Jadi Antiokhia adalah tempat yang menjadi tumpuan penting bagi agama nasrani sehinggalah pada tahun 364M memisahkan blok pemerintahan kepada timur dan barat maka agama nasrani juga terikut rentak geopolitik ketika itu terpisah kepada ortodoks dan katolik. Tekanan yang diterima cendiakawan dan filusuf diblok barat yang didominasi oleh mazhab katolik berpindah kepada blok timur yang didominasi oleh mazhab ortodoks sehingga Antokya menjadi pusat terpenting diblok timur bagi pemerintahan Rom ketika itu. Perkembangan akademik di Antokya dengan pertumbuhan sekolah-sekolah menjadikan ia sebuah kota terpenting dalam mengeksport warisan ilmu dari tamadun yunan kepada tamadun islam.

Madrasah Edessa

Edessa,Urhay , Riha atau juga disebut Rahaa adalah sebuah kota terpencil berhampiran Antokya di selatan Turki. Madrasah disana dibangunkan oleh bangsa farsi pada tahun 363M bagi pengajian teologi dan banyak tenaga pengajar dari Iskandariah yang berbakti di madrasah tersebut. Disebabkan madrasah Edessa tidak terlalu jauh dengan madrasah Antokya maka pengaruh teologi dari Antokya meresap masuk ke dalam madrasah Edessa begitu juga ilmu-ilmu dari Yunan. Pada tahun 428 M Nestorius (386–450) seorang tokoh besar dalam agama kristian di Antokya ketika itu mengasas mazhab baharu dalam agama kristian yang terkenal dengan panggilan mazhab Nestorianism dan banyak dari pelajar-pelajar madrasah Edessa cenderung kepada mazhab tersebut sehingga madrasah tersebut menjadi pusat terpenting bagi Nestorianism. Bagi mengukuhkan asas-asas pengangan mazhab Nestorianism maka kitab-kitab mantik dari yunan diterjemahkan ke dalam bahasa suryani atau syriac yang menjadi bahasa pengantar bagi mazhab Nestorianism. Oleh itu pengajian ilmu mantik diberikan perhatian khusus sehinggalah pihak gereja dari kerajaan Rom mengistiharkan kermurtadan mazhab Nestorianism dalam kristian dan banyak dari pengikutnya berpindah ke negara farsi ketika itu.

Madrasah Jundishapur

Madrasah Jundishapur diasaskan oleh Shapur Pertama pada kurun ke-3M sebagai pusat ilmu bagi empayer Sasanian ketika itu. Setelah pembubaran mazhab Nestorianism oleh kerajaan rom utara banyak tenaga pengajar dari Nestorian berpindah madrasah ini sehingga pada tahun 529M kerajaan Rom mengistiharkan penutupan madrasah Iskandariah, Antiokhia dan juga Eddessa maka secara serentak 7 tokoh besar dari madrasah-madrasah ini berpindah ke madrsah Jundishapur. Kesinambungan aktiviti pengajian ilmu di madrasah Jundishapur berterusan sehingglah munculnya agama islam. Ia menjadi pusat terpenting bagi pemindahan ilmu yunan dan tamadun-tamadun lain ke dunia islam.

Dari Antakya hingga ke Baghdad
Ketika empayar islam diluaskan, kaum muslimin banyak berkenalan dengan budaya dan ilmu dari pelbagai tamadun sehingga dari itu timbul inisiatif kerja-kerja terjemahan dilakukan ke dalam dunia islam atas keperluan pembangunan tamadun islam yang sedang berdiri kukuh.
Permulaan kerja-kerja terjemahan ilmu dari tamadun luar bermula diakhir-akhir pemerintahan empayar Bani Umayyah dan aktiviti terjemahan menjadi pekerjaan utama bagi cendiakawan ketika pemerintahan bani Abbassiah. Harun Ar-Rashid khalifah ke-5 bagi kerajaan Abassiah mengasaskan pusat pengajian dan terjemahan di baghdad yang diberi nama Dar Al-Hikmah pada tahun 218H dan Al-Farabi adalah antara pelajar lepasan dari madrasah ini.
Al-Farabi ada menulis mengenai pemindahan ilmu; “ ketika pengajian dari Iskandariah berpindah ke Antakya dan dalam beberapa tempoh ia kekal disana sehinggalah hanya seorang orang guru yang tinggal. Terdapat dua orang pelajar menuntut denganya dan akhirnya mereka berpindah bersama dengan kitab-kitab mereka. Salah seorang dari mereka adalah ahli Harran dan seorang lagi ahli Merv. Ahli Merv memiliki dua orang pelajar salah seorangnya bernama Ibrahim Mervazi dan seorang bernama Yuhanna ibn Haylan. Seorang rahib yahudi dan seorang lagi bernama Ibrahim Quwairi menuntut ilmu dengan lelaki dari ahli Harran tersebut dan keduanya berhijrah ke Baghdad. Rahib yahudi sibuk dengan perbahasan agamanya manakala Quwairi meyambung pengajiannya. Yuhanna bin Haylan memberi perhatian pada perbahasan agamanya manakala Ibrahim Mervazi berpindah ke baghdad. Matta ibn yunus menuntut ilmu dengan Ibrahim Mervazi dan ketika itu ilmu mantik dipelajari sehingga Ahskal Arbaah ( empat bentuk qias dalam mantik)”. Namun dalam riwayat hidup Al-Farabi menyebutkan beliau mempelajari ilmu mantik sehingga akhir kitab burhan ( risalah analutika).

https://www.facebook.com/fereshteh.saadi/posts/1067025416750413

No comments:

Post a Comment