https://www.facebook.com/rausyanfikir/posts/10208986677196906
Rata-rata ramai yang faham metafizik seperti satu genre penulisan yang mirip apa yang terdapat pada rak-rak kedai buku yang tertera padanya “New Age” yakni satu fahaman, kepercayaan yang diluar agama tradisional atau “organized religion” yang berbau mistik seperti Kabbalah, Vedanta dan macam-macam lagi.
Selalunya hal-hal “New Age” ini menyentuh berkenaan “law of attraction”, cara berfikir positif, mencari rahsia diri dan pelbagai lagi. Yang pasti banyak tulisan genre ini amat kabur dalam bab ketuhanan tapi cara diolah perbahasannya menggambarkan sifat-sifat ketuhanan.
Adakah semua itu metafizik? Secara formal-nya tidak tapi tema-tema sedemikian ada kaitan di peringkat cabang.
Selama saya bergelumang dalam dunia falsafah dan pemikiran Islam, saya lupa yang golongan kami ini adalah golongan elit. Kami lupa yang orang awam di luar sana telah dijaja oleh pemegang ilmu palsu dengan menukar takrif dan isi bicara ilmu metafizik menurut hawa nafsu mereka sendiri. Hal ini tidaklah pelik kerana sifat ilmu metafizik itu sendiri yang luhur menyebabkan orang awam yang tiada terlatih jiwa dan aqal-nya yang dibatasi dengan hal-hal mahsusat (sensational) tiada mampu membezakan yang mana intan dan yang mana kaca.
Memang tradisi falsafah adalah elitis dan eksklusif dalam erti kata yang positif kerana disiplin ilmu-nya menuntut kepada banyak pra-syarat seperti yang digariskan oleh Aristotle dalam Organon-nya – yakni gugusan ilmu-ilmu alat yang mempersiapkan diri insan untuk membicarakan hal-hal yang luhur seperti metafizik.
Contoh, masakan kita mampu memahami metafizik tanpa memahami asas-asas epistemologi dalam karya Aristotle seperti Posterior Analytics atau dalam bahasa moden-nya “falsafah sains”? Macam mana nak berhujah metafizik kalau nak bezakan konsep asas manṭīq apa itu taṣdīq dan taṣawwūr pun tak jelas?
Kita bertuah kerana di Malaysia kita mempunyai seorang ahli metafizik yang masih hidup. Beliau adalah Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Karya agung beliau "Prolegomena to the Metaphysics of Islam: an Exposition of the Fundamental Elements of the World View" (Muqaddimah kepada Metafizik Islam: satu penjelasan berkenaan unsur-unsur asas yang membentuk Pandangan Alam Islam) adalah satu pembuktian ilmiah yang agung berhubung metafizik Islam.
Saya sempat berguru dengan anak-anak murid beliau kira-kira hampir 8 tahun lamanya secara informal sejak zaman siswa, dan secara formal ketika saya jadi pelajar sarjana di Center for Advanced Studies on Islam, Science and Civilization (CASIS), UTM KL. Malah tesis sarjana saya juga ada kaitan dengan metafizik yang mana diselia oleh Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, guru besar CASIS sendiri. Tapi takdir Allah saya tidak dapat selesaikan-nya. Walaubagaimanapun saya amat bersyukur kerana dapat belajar banyak daripada tradisi ilmu yang makmur di CASIS.
Karya metafizik yang ditulis oleh Prof. Al-Attas ini seperti diperkatakan ramai tokoh dan ulama’ adalah yang terbaik pernah ditulis ilmuan Islam abad ke-20.
Bagi saya karya besar ini menghurai secara tuntas kata hikmah Saydina ʿAlī “man ʿarafa nafsahu faqad ʿarafa rabbahu" (barangsiapa mengenali diri-nya akan mengenali Tuhan-nya). Tema asas metafizik ini muncul dalam banyak tradisi agama dan ilmu seperti dalam tradisi Yunani kuno “Knew Thyself” oleh Oracle dari Delphi dan juga tradisi dalam Hindu, Buddha dan juga pengajian klasik China dan ianya dikatakan oleh sestengah sarjana sebagai tradisi hikmah yang abadi (perennial wisdom) yang berkongsi wacana walaupun berbeza bahasa dan budaya.
Ianya membicarakan ilmu jiwa berhubung insan – luar dan dalam; ilmu tentang ilmu (epistemologi) yang bahaskan bagaimana kita tahu yang kita tahu?; yang mana semua ini diadunkan secara sistematik agar tertayang pada pandangan batin kita akan hakikat-hakikat kewujudan sesuatu dan tempatnya yang benar (ontologi) yang mana persoalan “what-ness” (mā hiya) dijadikan pembuka wacana.
Contoh apa itu kebahagian? Apa itu kemajuan? Apa itu insan? Apa itu Tuhan? Apa itu masa? Apa itu ruang? Apa itu sebab? dan banyak lagi. Ianya melangkaui perbahasan yang selalu kita belajar dalam subjek sains tabi’i (natural science) di sekolah seperti fizik dan kimia
Kalau kita baca dan faham sedikit daripada inti buku ini khusus bab pembukaan-nya, nescaya kita akan insaf bahawa metafizik bukanlah boleh dibatasi dengan kelulusan PhD. Ianya lebih daripada itu dan ianya bersifat pembelajaran sepanjang hayat. Bukan untuk kegunaan duniawi tapi punya kekuatan untuk mempengaruhi banyak hal duniawi (matinya metafizik di universiti telah diganti oleh kegilaan saintisme yang membataskan kekayaan jiwa kita pada satu cara ilmiah yang sempit sehingga menatijahkan krisis jiwa dan alami).
Pada waktu kini, metafizik diserang dari luar oleh saintisme dan dari dalam oleh kejumudan Wahahbi yang menyerang ilmu kalam, falsafah sebagai satu bid’ah. Sebab itu di dunia Islam amat jarang ketemui tradisi metafizik yang dinamik (kecuali di pengajian tinggi lama seperti Al-Azhar, Zaytuna, Qarawiyyin). Pengecualian kepada ulama’ Syiah yang masih terus-menerus mengajar dan mengembangkan ilmu metafizik Islam dalam tradisi keilmuan mereka.
Bagi yang berminat, silalah hadir ke CASIS, UTM KL untuk berbincang dan belajar dengan guru-guru falsafah Islam di sana. Boleh juga dapatkan buku Prof Al-Attas ini di sana.
No comments:
Post a Comment