Saturday, October 29, 2016

Zikir Ribu-ribu

Apabila saya tulis ahli zikir, ada yang sudah sampai pusingan zikirnya sehingga 70 ribu, 100 ribu, 1 juta, dan malah lebih daripada itu, seperti biasa, akan ada yang bertanyakan dalil, dan tidak kurang juga yang menolak terus pernyataan jumlah-jumlah itu dengan alasan tabu dan tepu; Nabi tak pernah buat, seolah-olah sudah ditelaah ribuan hadith Baginda Nabi shollallahu 'alaihi wa sallam.

Maha Suci Allah Ta'ala yang mempedomankan saya kepada hadith berikut ini :

Sayyidatina Sofiyyah radhiyallahu 'anha berkata :

"Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam telah masuk ke bilik saya, dan di hadapan saya terdapat 4 ribu biji tamar yang saya gunakan untuk mengira tasbih saya. Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam bersabda , "Wahai puteri Huyaiy (Sofiyyah), apakah ini?" Saya pun menjawab, "Biji tamar yang saya gunakan untuk bertasbih." Baginda shollallahu alaihi wa sallam bersabda, "Sejak saya datang berdiri di samping kamu, saya telah bertasbih lebih banyak daripada itu." Saya pun berkata, "Ajarkanlah kepada saya wahai Rasulullah." Baginda bersabda, "Saya bertasbih SubhanAllahi 'adada ma khalaqa min syai-in" (yang bermaksud saya bertasbih Maha Suci Allah sebanyak bilangan sesuatu yang telah dijadikan oleh Allah Ta'ala)." - [Mustadrak Hakim].

Nota :

1] Sayyidatina Sofiyyah bertasbih sebanyak 4 ribu bilangan biji tamar, Rasulullah tidak melarang.
2] Rasulullah juga tidak melarang penggunaan biji tamar sebagai alat pengiraan atau 'tasbih'. Jadi tidak ada masalah penggunaan 'biji tasbih'.
3] Rasulullah menyatakan bahawa Baginda bertasbih lebih banyak daripada bilangan 4 ribu, dalam erti kata boleh jadi 10 ribu, 100 ribu, 1 juta, dan lebih lagi daripada itu.

****

Sayyidina Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu meriwayatkan bahawa Nabi shollallahu 'alaihi wa sallam bersabda bahawa Allah Ta'ala berfirman :

"Apabila seseorang hamba mengingatiKu, dan bibirnya bergerak-gerak kerana mengingatiKu, maka Aku bersama dengannya." - [Ibnu Majah].

محمد حافظ الفنداني |

https://www.facebook.com/hafiz.fandani/posts/10211835192741244

No comments:

Post a Comment