Friday, May 5, 2017

Berkenaan Sekolah Tahfiz



DAH TANYA SANGAT...

Ada pihak datang interview pakcik...mintak cadangan bagaimana nak menambahbaik sekolah tahfiz. Pakcik cakap soalan itu tak perlu timbul kalau amanah diberikan kepada ahlinya. Maka timbulnya soalan itu menunjukkan betapa berleluasanya masalah yg telah timbul apabila amanah tidak diberikan kepada ahlinya. Sekolah tahfiz itu dibina di atas premis yg kabur. Pendirinya tidak faham matlamat pendidikan Islam, dan bagaimana institusi tahfiz yg mereka dirikan itu boleh membantu mencapai matlamat itu.

Manusia yg terdidik tidak semestinya hafiz 30 juzuk, dan hafiz tidak semestinya seorang yang terdidik. Ini adalah faktanya walaupun ramai yg akan merasa sensitif dengan kenyataan ini.

Menurut al-Ghazali, apabila Rasulullah ﷺ wafat, dari kalangan 20 ribu sahabat yang berada di Madinah pada masa itu hanya terdapat enam orang hafiz al-Qur’an (dua orang daripadanya dipertikaikan). Kebanyakan sahabat yang lain hanya sekadar menghafaz satu atau dua surah sahaja, dan diriwayatkan bahawa yang menghafaz hanya Sūrat al-Baqarah dan al-Anʿām adalah dari kalangan mereka yang alim.

Pakcik malas nak cerita panjang tentang perkara ini di sini. Cukuplah pakcik bukilkan di sini kenyataan Imam Ghazali tentang mereka yg terpedaya dengan al-Quran dalam Kitab Kecelaan Tipu Daya (yg pakcik terjemahkan tu....). Cuba baca dan perhatikan kata Imam Ghazali:

"Puak yang lain menjadi ghurur dengan bacaan al-Qur’an yang mereka tidak fahaminya. Barangkali mereka mengkhataminya sekali sehari semalam. Lidah seorang dari mereka tidak lekang darinya sedang hatinya masih teragak-agak di lembah angan-angan kerana dia tidak pernah berfikir tentang makna al-Qur’an untuk dia mengambil peringatan darinya, mengambil nasihat darinya, mematuhi perintah dan larangannya, mengambil pengajaran pada tempat yang sepatutnya dia mengambil pengajaran, dan lain-lain lagi daripada apa yang telah kami sebut dalam Kitāb Ādāb Tilāwat al-Qur’ān dalam persoalan tujuan tilawah. Maka dia telah terpedaya sedangkan dia menyangka bahawa tujuan diturunkan al-Qur’an itu adalah untuk dibaca dalam keadaan lalai terhadap maksudnya. Bandingannya adalah seorang hamba yang menerima suatu tulisan dari tuannya dan dalamnya terdapat perintah dan larangan—dia tidak menumpukan usahanya untuk memahami dan mengamalkannya tetapi berpuas-hati dengan menghafaznya sedangkan dia berterusan berada dalam keadaan menyanggahi apa yang diperintahkan tuannya, dia mengulang-ulang membaca tulisan itu dengan suara dan lagunya seratus kali sehari—maka dia patut dikenakan hukuman. Selagimana dia menyangka yang demikian itulah yang dikehendaki dari tulisan itu maka sesungguhnya dia telah terpedaya. Benar, bacaannya dikehendaki agar dia tidak lupa apa yang dihafaznya, dan hafazannya dikehendaki untuk mengetahui maknanya, manakala maknanya dikehendaki untuk diamalkan dan diambil manfaat darinya. Ada yang memiliki suara yang merdu, maka apabila dia membacanya dan mengambil nikmat dengannya dan terpedaya dengan perbuatan mengambil nikmat darinya dan menyangka bahawa yang demikian itu adalah kelazatan munajat kepada Allah ﷻ dan mendengar Kata-kataNya sedangkan sebenarnya ia adalah kelazatannya mendengar suaranya sendiri. Kalau digantikan apa yang dibaca itu dengan syair atau perkataan lain dia tetap mendapat kenikmatan yang sama. Maka dia sebenarnya telah terpedaya kerana dia tidak memeriksa hatinya sehingga dia mengenali bahawa sebenarnya kelazatan yang dinikmatinya dari Kalam Allah ﷻ itu datangnya dari keindahan susunannya dan maknanya atau dari suaranya?"

Sekolah tahfiz yg ada hari ini tak faham semua ini. Bahkan apa yg disebut inilah yg mereka lakukan. Dan orang ramai yg tak tahu apa menyangka tahfiz itulah pendidikan Islam...

No comments:

Post a Comment