Semalam (23 Januari 2016), Tan Sri Professor Syed Muhammad Naquib Al-Attas telah menyempurnakan hasratnya untuk melanjutkan syarahannya atas tulisan terbaru nya, oleh kerana baginya adalah tidak mungkin untuk merangkumkan idea yang terdapat dalam tulisan tersebut dengan hanya satu sesi syarahan.
Buku “On Justice and The Nature of Man” olehnya adalah sebuah usaha tafsīr bagi ayat-ayat pilihan yang relevan dengan permasalahan yang cuba dirungkaikan, iaitu tentang identiti insan. Dua ayat (dan serangkap ayat-ayat) pilihan yang relevan bagi tajuk di atas ialah: An-Nisā’: 58; dan Al-Mu’minūn: 12-14. Justeru tulisan ini berperanan sebagai rumusan kepada syarahan lanjutannya, dan juga rumusan akan tulisannya. Atau sekurang-kurangnya begitulah harapan saya.
Identiti insān, pada Professor Al-Attas, adalah mustahak untuk diperjelaskan (dengan penjelasan bersumberkan wahyu) bagi menjawab gagasan yang terpesong yang diterima secara meluas oleh Barat tentang identiti insān, bahawa insān- yang sebenarnya mereka rujuk sebagai bashar- itu ialah suatu makhluk yang secara tabi’īnya hanya fizikal; bahawa insān itu tergolong sebagai haiwan kerana insān itu tidak lebih lain jenisnya daripada haiwan, tapi hanya berbeza pada darjah; bahawa insān itu bukan suatu makhluk yang khas diciptakan oleh Tuhan, tetapi hanya satu spesis baru yang terlanjut daripada proses evolusi biologi. Penjelasan ini perlu baginya kerana menyalahtanggap identiti insān membawa kepada salah tanggap akan urustadbir dunia dan akhirat bagi insān, lalu akan meletakkannya bukan pada tempatnya.
Sebenarnya, pada saya, tulisan ini tidak pun membawa wacana baru, tetapi sebagai rumusan kepada idea asalnya sebelum ini. Namun begitu, kelainan yang dibawa kali ini mungkin adalah dari segi usaha pembuktian sejarah untuk menapakkan ideanya dengan dapatan empirikal, sekaligus membawa keseluruhan sistem falsafahnya, khususnya berkaitan soal keadilan (‘adālah), ke peringkat yang lebih kukuh.
Seputar Gagasan Al-Attas
Ketika ditemubual oleh Hamza Yusuf, tentang apakah masalah yang paling sentral yang dihadapi oleh umat Islām zaman ketika ini? Syed Muhammad Naquib Al-Attas menjawab (bukan sahaja bagi pihak umat Islām, tetapi keseluruhan umat insān) masalahnya ialah “loss of adab”.
“Adab”, pada SMN Al-Attas, ialah terjemahan dalam bentuk tindakan (oleh hati, lisan dan sendi) yang bertepatan dengan ‘adālah (keadilan). ‘Adālah pula ialah suatu keadaan di mana setiap sesuatu berada pada tempatnya (tempat perlu dibezakan dengan lokasi yang terikat dengan kerangka tempat-masa). Lawan kepada ‘adālah sudah tentulah żulm, suatu keadaan di mana setiap sesuatu teralih daripada tempat selain daripada tempatnya yang asal.
Perhatikan bagaimana lawan kepada ‘adālah ialah żulm. Sedangkan secara lughahnya sepatutnya lawan kepada żulm (kegelapan) ialah munawwar (bercahaya/terang). Maka ini mengimplikasikan ‘adālah sebagai sinonim kepada munawwar. Maksud yang boleh difahami daripada maksud di sebalik sinonim ini ialah ilmu sebagai prasyarat kepada ‘adālah. Kerana ilmu menyuluh jalan (munawwar) dan memandu pengetahuan kepada ‘tempat’ di mana setiap sesuatu sepatutnya berada. Justeru, adalah hanya dengan ilmu ‘adālah boleh dicapai.
Logik yang seterusnya adalah sedia dimaklumi, kekurangan ilmu akan merencatkan potensi ‘adālah. Kesannya akan terlihat kepada tingkah-laku insān. Insān, konsekuensinya, akan kehilangan adab. Hilang kapasiti untuk bertindak sejajar dengan ‘adālah, kerana dibejatkan dengan kekurangan ilmu. Selain daripada kekurangan ilmu, penyalahertian ilmu juga boleh mengakibatkan kerosakan yang serupa. Maka walaupun masalah kekurangan ilmu mampu untuk ditangani (dengan memperbanyakkan program-program agama dan institusi-institusinya), masalah dalam penyalahertian ilmu masih perlu diberikan perhatian yang lebih serius.
Ilmu adalah kunci yang paling penting. Kerana tanpanya Gereja memperhambakan masyarakat Eropah selama berkurun-kurun, dan dengannya mereka mampu melepaskan diri dan membawa tamadun mereka kepada reputasi hari ini. Akan tetapi kerana ilmu baharu yang mereka gagaskan tidak lebih kurang rosak daripada gagasan Gereja sebelum itu, kerosakan insāniah masih menghantui mereka. Tetapi kali ini dalam bentuk yang lebih halus. Jika dulu mereka menjadi hamba kepada Gereja dalam keadaan sedar, kini mereka menjadi hamba kepada cara pandang diri sendiri. Dan kali ini kesedaran itu tidak terdapat dalam fikiran mereka.
Proses penghambaan lama kepada penghambaan baru ini yang Prof Al-Attas namakan sebagai ‘sekularisasi’. Konon mereka bebas daripada kekangan Tuhan. Tetapi sebenarnya hanya kembali masuk dalam kebobrokan cara pandang sendiri. Proses ini menciri-cirikan dirinya dengan tiga paksi utamanya: “disenchantment of nature“; “desacralization of politics“; dan “deconsecration of values“. (Islam and Secularism). Untuk mendepani proses yang sudah sekian lama menjangkiti umat insan ini, Prof Al-Attas menggagaskan dua usaha yang bersepadu dan bersekali iaitu: “dewesternization of knowledge“; dan “islamization of knowledge“.
Maka, “On Justice and The Nature of Man” ialah salah satu bentuk gagasan Prof Al-Attas bagi menyahbaratkan ilmu tentang hakikat insān. Supaya dengan usaha ini, insān dapat disantuni dengan santunan yang selayaknya untuk dia.
Akan bersambung di bahagian 2.
‘Alwi Rādhiah,
11.15 am, 12 Rabī’ul Thānī 1437.
https://alwiradhiah.wordpress.com/2016/01/24/al-attas-dan-hakikat-insan-bahagian-1/
No comments:
Post a Comment