Sunday, January 24, 2016

Al Attas dan Hakikat Insān - Bahagian 2

Artikel ini adalah sambungan daripada artikel di pautan berikut:https://alwiradhiah.wordpress.com/2016/01/24/al-attas-dan-hakikat-insan-bahagian-1/

Tentang Hakikat Insan

Dapat disimpulkan dengan ringkas daripada kebanyakan sumber akademik bahawa gagasan Barat memandang insān hanya sebagai suatu makhluk yang terbit daripada tindakan semulajadi alam tabi’ī dan tidak mempunyai kelainan daripada binatang melainkan hanya pada darjah kompleksitinya. Tidak begitu pada kaca mata Islām. Prof Al-Attas menegaskan penciptaan insān ialah suatu penciptaan yang istimewa dan prosesnya disempurnakan oleh “tangan” Tuhan sendiri.

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.” (Al-Mu’minūn: 12-14)

Terdapat tiga kalimah yang menjelaskan hakikat penciptaan dan kejadian insān dalam gugusan ayat Qur’ān di atas: “khalaqa”; “ja’ala”; dan “ansha’a”. Ketiga-tiga kalimah ini sebenarnya merujuk kepada satu maksud yang sama, iaitu mencipta. Tetapi perbezaan yang membezakan antara satu kalimah dengan yang lainnya ialah konteks masa. Satu mendahului dalam proses penciptaan daripada yang lainnya, bermula dengan “khalaqa”, dilanjuti oleh “ja’ala” dan “ansha’a”. Di hujung proses penciptaan ini, Tuhan kemudian mengisytiharkan bahawa hasil daripada penciptaan tersebut ialah suatu makhluk baru (khalqan ākhar) yang akan membawa Islām sebagai amanahnya. Yang diisytiharkan sebagai khlaqan ākhar itu ialah insān.

Fasa-fasa proses ini perlukan penjelasan yang lebih terperinci. Kalimah “khalaqa” membawa erti penciptaan sesuatu yang baru yang belum pernah wujud sebelumnya. Dan penciptaan tersebut tidak semestinya penciptaan daripada ex nihilo. Tuhan menciptakan insan daripada sulālah, sesuatu yang sudah sedia wujud sebelumnya.Sulalah merujuk kepada segumpal pepejal yang dibentuk daripada sekumpulan pelbagai jenis tanah yang dipilih. Kemudian daripadanya diekstrak keluar hanya campuran yang dikehendaki. Contoh penggunaan kalimah “khalaqa” juga terdapat dalam ayat-ayat lain dan masih konsisten menggambarkan konteks yang sama (15: 28 dan 38: 71).

“Ja’ala” juga bermaksud mencipta, tetapi merujuk kepada penciptaan sesuatu dengan cara mengkestrak keluar bahan yang terpendam daripada bahan sebelumnya. “Ja’ala” ialah satu bentuk penciptaan yang kreatif dengan erti kata menghasilkan atau mengada-adakan- lebih membawa maksud membuat bentuk baru berbanding mewujudkan sesuatu yang baru. Kemudian Tuhan meneruskan proses tersebut dengan mencipta (khalaqa) setiap fasa (‘alaqah, mudhghah, ‘iżām) dalam penciptaan insān.

“Ansha’a”, tindakan mencipta yang terakhir, bermaksud menjadikan sesuatu yang baru tetapi menyerupai sesuatu yang pernah wujud sebelumnya. Contoh kejadian ini ialah apabila manusia akan dibangkitkan di akhirat kelak dengan tubuh badan yang menyerupai tubuh badannya sewaktu di dunia (Yasin: 79). Dalam penciptaan manusia, “ansha’a” adalah ketika Tuhan meniupkan (fanafakhtu fīhi min rūhī) “sesuatu” daripada DiriNya sendiri. Maka sebuah kejadian baharu pun muncul sebagai khalqan ākhar. Hasil daripada memasukkan “sesuatu” tersebut membentuk suatu makhluk baru, tetapi masih mengekalkan bentuknya yang hampir serupa dengan spesis-spesis homo yang lain.

Khalqan ākhar tidak akan terjadi jika Tuhan tidak meniupkan “sesuatu” tersebut. “Sesuatu” yang dimaksudkan oleh Prof Al-Attas ialah nafs an-nāţiqah. Nafs an-nāţiqah inilah yang kadang-kadang kita rujuk sebagai rūh (jiwa), nafs (diri), qalb (hati), dan ‘aql (akal)- setiap satunya mempunyai realiti dan fungsi tersendiri. Nafs an-nāţiqah inilah juga yang membuat perjanjian dengan Tuhan di alam rūh (Al’A’raf: 172) sebelum ditiupkan ke dalam jasad.

Ketika peristiwa Perjanjian tersebut, Tuhan bertanyakan kepada para nafs an-nāţiqah ini akan ketuhananNya dan mereka mengabsahkannya. Ini mengimplikasikan insān sebenarnya telahpun diajarkan (‘ilm al-bayān) oleh Tuhan dan diberikan kapasiti untuk berfikir; dan kemampuan berfikir ialah sesuatu yang tabi’ī sebagai sifatnya. Peristiwa Perjanjian tersebut juga menggambarkan situasi di mana Tuhan bertukar-tukar perkataan dengan nafs an-nāţiqah. Ini juga mengimplikasikan bahawa insān sudah sedia diajarkan bahasa dan percakapan oleh Tuhan. Oleh itu, peristiwa tersebut sudah tentunya suatu ketika yang membentuk hakikat seorang insān. Dan ini menunjukkan bahawa insān mencapai bentuk dirinya yang ketika ini tanpa melalui sebarang proses evolusi; dan segala fakulti yang terdapat pada dirinya sudah sedia ada bahkan ketika dia masih lagi hanya sebagai nafs an-nāţiqah.

Dengan peristiwa (ansha’a dan Perjanjian) tersebut, maka insān kemudiannya mempunyai dua sisi hakiki. Di satu sisinya dia seorang “bashar”; sebatang tubuh yang dikurniakan fakulti pergerakan dan pancaindera. Di satu sisi yang lain, dia seorang “insān”; seorang individu yang bersifat spiritual yang dimaksudkan apabila dia menyebut “aku”; dan diberikan fakulti kognitif dan imaginatif. Dua entiti yang wujud bersekali sebagai satu entiti ketiga hasil daripada interaksi antara kedua-duanya.

Inilah kefahaman akan hakikat insān yang ditafsirkan oleh Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas berdasarkan gugusan ayat-ayat daripada Surah Al-Mu’minūn: 12-14. Dan ini sudah tentunya pendirian Islām dalam memerihalkan hakikat insān, sekaligus membatalkan segala dakwaan materialistik cara pandang Barat yang meletakkan manusia sebagai hanya mahkluk yang sebaris dengan hidupan-hidupan lain, tidak membawa sebarang peranan signifikan yang lebih tinggi daripada segala makhluk di dunia.

Gagasan Prof Al-Attas ini membawa keluar insān daripada kerangka zoologi kontemporari, iaitu mengkelaskan hidupan dalam tiga Kingdom; mineral; tumbuhan; dan binatang. Dengan cara pandang Islām, insān sebenarnya berada dalam Kingdomnya yang tersendiri. Ia tidak dibahagikan kepada genus dan spesis. Akan tetapi hanya dibahagikan mengikut negara (shu’ūb), puak (qabā’ila), bangsa dan individu- dalam pengkelasannya yang tersendiri.

Sejarah Yang Hampir

Walaupun tafsirannya sudahpun komprehensif, tetapi argumen ini masih hanya di peringkat asumsi tanpa pembuktian empirikal- sekurang-kurangnya begitulah piawaian pembuktian kini yang juga adalah hasil daripada sekularisasi. Sehubungan dengannya, menyahut realiti kontemporari, Prof Al-Attas melanjutkan pendirian beliau dengan pendekatan metodologi sejarah pula. Menurut teori evolusi, manusia telah melalui proses biologi jutaan tahun untuk melengkapkan kejadiannya sebagai seorang manusia.

Berlainan dengan pendirian mereka, Islām menegaskan sejarah penciptaan insān tidaklah mengunjung jauh ke masa lampau berjutaan tahun. Akan tetapi tempoh daripada Nabi Ādam sebagai insān pertama yang diciptakan oleh Tuhan sehingga kepada zaman kini, hanya memperuntukkan tidak lebih daripada sepuluh ribu tahun. Oleh kerana penciptaan insān disempurnakan oleh Tuhan sendiri, maka garis masa kewujudan insān sama sekali berlainan daripada garis masa kewujudan hidupan-hidupan lain.

Melalui penulisannya, Prof Al-Attas membuat anggaran ilmiah akan sejarah kewujudan insān hanya menjangkau sehingga 7000-8000 tahun yang lalu. Metodologi pensejarahan Prof Al-Attas adalah dengan mengenalpasti peristiwa-peristiwa dalam rekod sejarah mempunyai perincian yang serupa dengan kisah saga para nabi dan rasul yang dikhabarkan oleh Al-Qur’ān. Persamaan dalam ketepatan fakta sejarah tersebut akan memberi maklum kepada kita akan anggaran zamannya. Saya kira tidak perlu untuk mengulas metode pensejarahan yang dibuat oleh Prof Al-Attas kerana walaupun kepentingan fakta-fakta tersebut menjadi sentral kepada tulisan beliau, namun sebagai rumusan cukup sekadar kita meneliti hasil kerjanya secara umum.

Bermula dengan Nabi ‘Īsā a.s., kita sedia maklum jarak masanya daripada zaman kontemporari sekitar 2015 tahun. Meningkat naik kepada Nabi Yūnus, garis masanya adalah seperti berikut:

Yūnus a.s 2700 tahun lalu

Sulaimān a.s 2989 tahun lalu

Dāud a.s 3025 tahun lalu

Mūsā a.s 3500 tahun lalu

Ibrāhīm a.s 4215 tahun lalu

Nūh a.s. 5565 tahun lalu

Ādam a.s 7165 tahun lalu

Dapatan oleh Prof Al-Attas ini mengubah kefahaman konvensional tentang hakikat dan asal-usul manusia dengan pasti. Dengan dapatan beliau ini, segala disiplin sains yang memerihalkan insān, sepertimana yang diterima ketika ini, akan memerlukan pemerhatian dan ulasan baru.

Akan bersambung di bahagian 3.

‘Alwi Rādhiah,

8.51 pm, 13 Rabī’ul Thānī 1437
https://alwiradhiah.wordpress.com/2016/01/24/al-attas-dan-hakikat-insan-bahagian-2/

No comments:

Post a Comment