https://www.facebook.com/nazrin.hashim/posts/10206319259087413
Kalaulah khusyuk termasuk dalam syarat sah solat, entah berapa banyak agaknya solat kita yang tak sah..
Kalau ditelusuri perbincangan para ulama' tentang hukum khusyuk dalam solat, kita akan menjumpai dua pandangan utama dalam hal ini. Majoriti para ulama', termasuk An-Nawawi dan pandangan muktamad dalam Mazhab Syafi'ie, mengatakan bahawa khusyuk adalah termasuk dalam perkara sunat dalam solat. Menurut satu pandangan lagi, para ulama' termasuk Al-Ghazali dan Ibnu Taimiyah cenderung untuk mengatakan bahawa hukum khusyuk dalam solat adalah wajib, maka orang yang tidak khusyuk dalam solatnya dikira berdosa.
Ibnul Qayyim dalam Al-Wabil As-Soyyib (seperti dalam gambar) menyenaraikan lima kategori manusia dalam menunaikan solatnya.
1. Orang yang menzalimi dirinya sendiri kerana cuai dalam solatnya, baik dari segi kesempurnaan wudhu', menjaga waktu solat, batasan dan rukun-rukun solat. Golongan ini akan dihukum atas kecuaian mereka (Mu'aqab).
2. Orang yang menjaga segala aspek luaran solat, namun dirinya tenggelam dalam gangguan was-was dan fikiran yang lain. Golongan ini akan dihisab dan ditimbang amalan solat mereka itu (Muhasab).
3. Orang yang menjaga segala aspek luaran solat, serta bermujahadah melawan segala gangguan was-was dan fikiran. Mereka ini sedang berada dalam solat dan jihad. Golongan ini, dosa dan kesilapan mereka akan dihapuskan dengan pahala solat mereka (Mukaffar 'anhu).
4. Orang yang mendirikan solat, serta menjaga kesempurnaan segala aspek luaran dan dalaman dalam solatnya, hatinya sentiasa fokus menjaga kesempurnaan dalam beribadah kepada Allah. Golongan ini akan menerima ganjaran pahala (Muthab).
5. Orang yang juga menjaga kesempurnaan segala aspek dalam solat, namun hatinya diletakkan dihadapan Allah, seolah-olah dirinya sedang melihat Allah dengan hatinya, merasa dirinya sentiasa diperhati oleh Allah, hatinya dipenuhi dengan rasa cinta dan keagungan terhadap Allah, segala gangguan was-was dan fikiran akan melemah dan tidak mampu mengganggu dirinya. Mereka ini dalam solat sentiasa sibuk dengan Tuhannya dan merasakan bahawa solat itu adalah penyejuk mata baginya. Golongan ini adalah golongan yang sangat hampir dengan Allah (Muqarrab).
Maka, tanyalah diri, didalam kategori manakah kita? Ataupun ada dalam kalangan kita yang sama sekali tak termasuk dalam lima kategori ini kerana langsung tidak menunaikan solat?
Setiap antara kita bertanggung jawab atas pilihan masing-masing. Anda mampu memilihnya.
No comments:
Post a Comment