Dalam kelas isu² tasawwuf, kami diajarkan tentang pembahagian tasawwuf sunni dan bid'i. Hujah asasnya, tasawwuf sunni tidak melibatkan hal² metafizik seperti ontologi, kosmologi, dan epistemologi. Tasawwuf sunni hanya melibatkan tazkiyatun nafs dan pemurnian akhlaq- takhalluq bi akhlāqilLāh (تخلق بأخلاق الله).
Maka, apa² sahaja tasawwuf yang melibatkan ketiga² perkara ini ialah tasawwuf bid'i dan mesti dijauhi. Ini tidak betul sama sekali oleh beberapa sebab.
Pertamanya, penilaian boleh dibuat berdasarkan analisis terma. Terma² seperti "akhlaq" dan "takhalluq" berkongsi kata dasar yang sama "Kh-L-Q" (خلق). Adalah sedia maklum bahawa apa² sahaja perkataan terbitan yang berkongsi kata akar yang sama, akan membawa julat makna yang serupa.
"Takhalluq" secara kasarnya bermaksud proses kemenjadian, manakala "akhlaq" pula merujuk kepada kejadian dalaman seseorang. "Khalq" pula bermaksud kejadian atau ciptaan.
Apabila dihimpunkan hubungan semantik ini secara bersekali, ianya sebuah proses untuk mengubah kejadian dalaman seseorang kepada kejadian yang lain- dari buruk kepada baik. Justeru "akhlaq" yang menjadi objek perhatian tasawwuf ini bersifat ontologikal, kerana usaha tazkiyah itu melibatkan "nafs" seseorang- iaitu keseluruhan kejadian dirinya.
Keduanya, ada sebab mengapa Imām Al-Ghazali menamakan salah satu karyanya sebagai "al-Kimiyyāt al-Sa'ādah". "Al-Kimiyyat" atau "Alchemy" ialah sains yang bertujuan menukarkan sebarang jenis logam kepada emas- bermakna menghilangkan ciri² dan kejadian satu logam dan menjadikannya sebuah ciri dan kejadian yang baru, iaitu emas.
Mengambil konsep yang sama, Al-Ghazali menyifatkan tazkiyatun nafs sebagai proses menukar jiwa yang rendah (nafs al-ammārah) kepada jiwa yang lebih mulia (nafs al-muţma'innah). Penyucian jiwa bukan setakat seperti membasuh kain menanggalkan daki. Tetapi seperti proses hidrolisis yang mana bahan baru dijadikan daripada penguraian bahan lama.
Jadi proses ini bukan setakat mengubah ciri² jiwa, tetapi mengubah keseluruhan keadaan jiwa. Sekali lagi, ia mempamerkan sifat yang ontologikal.
Jadi tidak masuk akal untuk mengatakan tasawwuf tidak terlibat dengan sebarang urusan metafizik dan tidak ada mekanisme yang sedemikian dalam proses penyucian jiwa.
P/s: sebenarnya ada banyak lagi sebab lain. Tapi nanti kena cerita pasal wahdatul wujūd pula dah. Susah lah panjang². Haha.
https://www.facebook.com/AbuRadhiah94/posts/1434999859865480
No comments:
Post a Comment