https://www.facebook.com/ahmadsyaibani.ramli/posts/997372867012204
Agama ini dibina di atas kefahaman mendalam dan kepastian, bukan sekadar naqalan, petikan dan riwayat seperti sangkaan pihak tertentu.
Kita boleh memetik dengan mudah Quran, Hadis, Athar Sohabah, Tabien dsbnya kerana ia sudah dikumpul dengan kemas oleh generasi awal agama. Tetapi memetik sahaja tidak cukup. Perlu kepada memahami dan memastikan makna sebenar yang dikehendaki.
Jika makna sebenar (yang dimaksudkan oleh tuan yang bercakap) tidak diketahui dengan pasti, maka kita tak boleh jadikan riwayat yang kita petik itu sebagai hujjah kerana tidak pasti dari segi makna sebenar.
Apakah yang menyebabkan makna tidak pasti? Kebanyakan sebab adalah segi bahasa.
Ada kalimat yang mempunyai banyak makna.
Ada kalimat yang bersifat metafora.
Ada kalimat yang asalnya satu makna, kemudian dipindahkan kepada makna lain lalu digunakan untuk makna kedua, ditinggalkan makna pertama.
Ada kalimat yang membawa makna lain jika dii'rab (dihubung dengan kalimat lain dalam ayat sama) dengan jalan lain.
Ada kalimat yang terbit daripada dua kata terbitan yang masing-masing memberi makna berbeza.
Ada kalimat yang maknanya bertentang dengan tuntutan akal yang pasti.
Dan seterusnya...
Imam Fakhuddin Al-Razi rhm (6H) mensenaraikan 10 segi sesuatu riwayat itu masih bersifat tak pasti maknanya, yang antaranya sudah disebut di atas (walaupun dari segi riwayat adalah sahih bahkan mutawatir). Teori 10 segi beliau ini sangat popular dalam kalangan ahli usul feqh.
Sebab itu menjadi satu kewajipan untuk setiap yang menisbahkan diri kepada agama ini untuk mendalami ilmu-ilmu yang mengajar cara berinteraksi dengan masalah ini iaitu Usul Feqh, Nahu, Sorof, Balaghah, Mantiq dan Kalam. Diselitkan juga Kalam kerana Kalam memperkenal apa itu dalil dan bahagiannya iaitu aqli dan naqli dan bagaimana setiap dalil memberi kepastian atau tidak.
Berhujjah dengan menggunakan riwayat memerlukan kepada kaedah tersendiri bukan main petik sahaja.
Tahukah kita bahawa Quran yang mutawatir riwayat (pasti) itu pun kebanyakan maknanya (dalalah) adalah tidak pasti? Apa lagi hadis sahih yang ahad (tak mutawatir riwayat maka tak pasti dari segi riwayat lagi belum sentuh makna) yang memenuhi sebahagian besar himpunan hadis sahih yang ada sekarang. Semua itu dari segi hujjah, tak meyakinkan.
Sebab itu belajar Mustolah Hadis sahaja tak cukup, memetik riwayat sahaja tak cukup.
Sekali lagi, agama ini dibina atas kefahaman mendalam, hujjah yang pasti dan pendirian yang kukuh. Para penjaga agama ini mestilah seorang yang teliti dalam berhujjah, bukan yang berfikiran pendek. Jika tidak hilanglah wibawa agama ini. Nasihat kepada diri saya sendiri. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment