SUDAH AGAK LAMA saya tidak berbicara tentang ilmu Mantiq, Falsafah dan Kalam.
Hari ini ada yang bertanya kepada saya tentang satu isu setelah beliau membaca buku Matan Isaghuji yang saya terjemahkan.
Beliau meminta agar saya menjelaskan kepadanya mengenai konsep bil-quwwah dan bil-fi'l.
Baiklah sahabatku sang pembaca, akan kujelaskannya kepadamu secara ringkas dan jelas, insha-Allah.
1. Setiap yang wujud, kecuali Allah, mungkin wujud secara bil-quwwah, dan mungkin juga wujud secara bil-fi'l. Saya terjemahkan bil-quwwah sebagai "secara perbakatan", manakala bil-fi'l diterjemahkan sebagai "secara perbuatan".
2. Sebagai contoh, Zaid mempunyai ilmu, tangan, pen dan kertas, maka sekarang dia mempunyai bakat, upaya, potensi dan kemampuan sebagai penulis. Ketika ini, Zaid dikatakan sebagai "seorang penulis secara perbakatan". Ini kerana dia ada bakat untuk menulis, tetapi masih belum menulis.
3. Apabila Zaid menggunakan ilmu, tangan, pen dan kertas yang ada untuk menulis, maka ketika itu Zaid dikatakan sebagai "seorang penulis secara perbuatan". Ini kerana dia sedang menzahirkan bakatnya itu secara realiti dan aktual.
4. Setelah ia selesai menulis, jika dia masih ada ilmu, tangan, pen dan kertas, maka Zaid kembali kepada keadaan "seorang penulis secara perbakatan".
5. Jadi, bil-quwwah ialah keadaan di mana sesuatu itu tidak wujud secara realiti, tetapi ianya ada bakat dan potensi untuk berlaku. Bil-fi'l pula ialah keadaan di mana sesuatu yang pada asalnya hanyalah suatu bakat, kemudiannya ia wujud dan berlaku secara nyata.
6. Dua konsep ini diaplikasi dalam ilmu Kalam di bawah tajuk Ta'alluq. Kemampuan dan keupayaan Allah untuk mencipta merupakan sesuatu yang bil-quwwah, ia dinamakan Ta'alluq Suluhi Qadim. Setelah Allah berkehendak dan mencipta, maka ia menjadi sesuatu yang bil-fi'l, ia dinamakan Ta'alluq Tanjizi Hadis.
7. Dalam ilmu fizik pun ada kedua-dua konsep ini. Apabila sesuatu objek itu berbakat untuk berlakunya sesuatu pergerakan padanya, ia dinamakan Tenaga Potensial. Ketikamana objek itu sedang mengalami pergerakan tersebut, ia dinamakan Tenaga Kinetik.
TAMMAT

No comments:
Post a Comment