https://www.facebook.com/NoorDeros/posts/10153550028862227
TULISAN DIBAWAH INI BERKENAAN DENGAN KETERKAITAN DAN KENISBIAN RUANG DAN WAKTU (TIME-SPACE CONTINUUM AND RELATIVITY OF TIME AND SPACE) BUKAN DARI ALBERT EINSTEIN (1879-1955) TETAPI DARI HUJJATUL ISLAM IMAM AL-GHAZALI (1058-1111)
"Sesungguhnya masa itu baharu (حادث/Pernah tiada kemudian diadakan) dan dicipta, tiada wujud "masa" sebelum masa itu...apa yang terbayang dalam minda kamu akan wujudnya masa (sebelum masa) hanyalah dikeranakan lemahnya kemampuan mengukur (Quwwah Wahmiyyah (قوة وهمية)/Estimative Faculty) kita. Sesungguhnya Quwwah Wahmiyyah manusia itu tidak mampu memahami wujudnya sebuah permulaan kecuali dengan merasakan adanya "sebelum" baginya, dan "sebelum" itu - yang tidak terpisah dari Quwwah Wahmiyyah - disangka bahawa ianya adalah sesuatu yang benar-benar wujud. Kelemahan Quwwah Wahmiyyah disini adalah sama dengan kelemahanya dalam mengukur pangkal sebuah jisim - sebagai contoh - kecuali ia akan menganggap bahawa pangkal itu juga ada "atas" baginya, maka Quwwah Wahmiyyah menyangka bahawa disebalik seluruh alam ini (pasti) ada ruang (lagi), sama ada kosong ataupun diduduki (oleh sesuatu). Dan apabila dikatakan padanya (Quwwah Wahmiyyah) bahawa tiadanya '"atas" bagi pangkal alam dan tiada wujud ruang yang melangkauinya maka ia (Quwwah Wahmiyyah) tidak mampu menerimanya, sama seperti jika dikatakan bahawa sebelum adanya alam ini tiada yang dikatakan "sebelum" yang benar-benar wujud, Quwwah Wahmiyyah kita tidak akan menerimanya."
"Sebagaimana dimensi ruang (space dimension/البعد المكاني) itu mengikut/terikat dengan jisim (Benda; yang ada ukuran panjang, lebar dan dalam), dimensi waktu (time dimension/البعد الزماني) pula mengikut/terikat dengan gerak (motion/حركة), ia (waktu) adalah perpanjangan (امتداد/extension) bagi gerak, ia (ruang pula) adalah perpanjangan bagi dataran jisim. Sebagaimana bukti keterhadan dataran jisim memustahilkan adanya dimensi ruang (lagi) disebaliknya, begitu juga bukti keterhadan gerak pada kedua-dua hujungnya memustahilkan adanya dimensi waktu disebaliknya, walaupun Quwwah Wahmiyah tidak mampu melepaskan khayalan dan anggapannya tentang ia (bahawa adanya ruang disebalik dimensi ruang dan adanya waktu disebalik dimensi waktu) dan tidak pernah berhenti darinya (khayalan dan anggapan itu).
Tiada perbezaan diantara dimensi waktu yang mana apabila dipertuturkan dan dinisbahkan kepada perspektif kita sebagai manusia terbahagi kepada "sebelum" dan "sesudah" dengan dimensi ruang yang mana apabila dipertuturkan dan dinisbahkan kepada perspektif kita sebagai manusia terbahagi kepada "atas" dan "bawah", jika boleh disabitkan adanya "atas" yang tiada atas baginya maka boleh juga disabitkan bahawa adanya "sebelum" yang mana tiada sebelum baginya yang benar-benar wujud, kecuali dalam bentuk khayalan sepertimana dalam hal "atas".
(Diambil dari hasil kajian Dr Basil At-Ta'i dalam kitabnya Daqiqul Kalam ms 121 dan makalahnya 'Time in Islamic Kalam'.)
_________
Nukilan-nukilan diatas oleh dr Basil beliau petik dari kitab 'Tahafut Al-Falasifah' dimana Imam Al-Ghazali mematahkan hujah ahli falsafah yang mendakwa bahawa alam ini tiada permulaan.
Aqal yang tajam dan dicahayai oleh wahyu telah dan akan terus menghasilkan ilmu-ilmu yang luar biasa.
No comments:
Post a Comment