Sunday, May 1, 2016

Sedikit Mengenai Hadith

https://www.facebook.com/ustazalamindaud/posts/561755037332326

1. Mereka yang hanya melihat kepada sahih atau tidak sesuatu hadith berdasarkan semata-mata riwayah adalah mereka yang hanya berada pada kulit pengajian hadith. (Mafhum perkataan Syah Waliullah al-Dihlawi).

2. Peringkat tertinggi dan paling sukar di dalam pengajian hadith ialah pada ilmu dirayah gharaaib al-Hadith dan asraar al-Hadith. Tidak ramai yang dikurniakan oleh Allah kelebihan ini melainkan mereka yang diberikan anugerah dan karunia oleh Allah SWT. Ulama' fuqaha' dan ulama sufi adalah mereka yang mendapat bahagian daripada keluasan dan kehebatan kalam Baginda Nabi صلى الله عليه و على آله وصحبه وسلم dan mereka adalah ahlul hadith pada zaman mereka.

3. Oleh yang demikian seseorang yang alim belum tentu faqih. Nabi صلى الله عليه و على آله وصحبه وسلم menggunakan kalimah فقه di dalam hadith ;

من يرد الله به خير يفققه في الدين

"Sesiapa yang Allah mengkehendaki dengannya kebaikan maka Allah akan faqihkannya (faham dengan mendalam) di dalam urusan agama". (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

4. Mereka yang mengetahui sesuatu riwayah hadith belum tentu memahami makna hadith sesuai dengan murad (kehendak) Nabi صلى الله عليه وسلم. Tidakkah Nabi berpesan kepada para sahabat untuk menyampaikan hadith sekalipun mereka tidak memahaminya?

Daripada Zaid bin Thabit r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Allah menyerikan orang yang mendengar suatu hadis daripada kami lalu ia menghafalnya sehingga ia menyampaikan kepada orang lain. Kemungkinan seseorang itu membawa suatu kefahaman kepada orang yang lebih memahami. berkemungkinan juga orang yang membawa suatu kefahaman sebenarnya ia tidak memahaminya. (Riwayat Abu Daud dan Al-Tarmizi)

5. Teringat suatu ketika semasa pengajian kitab sirul asrar Sheikh Abdul Qadir al-Jailani قدس الله سره ونور ضريحه pada menghuraikan makna hadith ;

المؤمن مرأة المؤمن

"Orang mukmin adalah cerminan orang mukmin" (riwayat Abu Dawud daripada Abi Hurairah dan al-Hafidz al-'Iraqi mengatakan isnadnya hasan).

6. Apa yang menarik Syeikh Abdul Qadir al-Jailani memaknai al-mukmin yang pertama ialah orang mukmin dan al-Mukmin yang kedua ialah Allah kerana salah satu nama Allah ialah al-Mukmin. Maka jadilah maknanya orang mukmin menjadi cerminan kepada Allah. Jika kita ingin melihat pengasihnya Allah, lihatlah pada orang mukmin. Jika kita ingin melihat penyayangnya Allah lihatlah pada orang mukmin. Inilah makna syuhud yang dihuraikan di dalam pengajian ilmu tasawwuf.

7. Penghulu bagi orang mukmin ialah Nabi kita Muhammad صلى الله عليه و على آله وصحبه وسلم dan Allah telah menyifatkan Nabi kita dengan nama Allah iaitu رؤوف رحيم

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. (at-Taubah : 128)

8. Riwayat yang sahih tetapi memahami dengan makna yang tidak sahih juga termasuk di dalam mendustakan Rasulullah صلى الله عليه وسلم kerana kita mengatakan apa yang tidak dimaksudkan oleh Baginda صلى الله عليه وسلم

9. Kembalilah kepada huraian dan kefahaman para ulama. Kerana ijtihad mereka di atas disiplin ilmu yang luas. Tepat atau tidak keduanya mendatangkan pahala kepada mereka. Sebaliknya Ijtihad kita di atas kejahilan sekalipun benar ia tidak dikira betul tetapi hanyalah kebetulan.

Nukilan oleh ;
Ustaz Mohd Al-Amin Bin Daud Al-Azhari
Universiti Al-Azhar Mesir

No comments:

Post a Comment