https://www.facebook.com/khazanah.fathaniyah.1/posts/1795993653956793
Kitab Isra' Mikraj Yang Paling Berpengaruh di Dunia Melayu.
.
"Di antara sekian banyak kitab yang membicarakan perkara ini yang paling besar pengaruhnya di seluruh dunia Melayu ialah Kifayatul Muhtaj oleh Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani. Kitab ini sampai sekarang masih ada dijual di kedai-kedai kitab di seluruh dunia Melayu. Berbeza dengan Isra' dan Mi‘raj karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri, juga Isra' dan Mi‘raj oleh Syeikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani sudah lama tidak terdapat dalam pasaran kitab.
.
Ramai orang mengetahui bahawa kedua-dua ulama itu ada menulis mengenai Isra' dan Mi‘raj hanyalah berdasarkan kenyataan Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani dalam Kifayah al-Muhtaj, kerana sewaktu menyusun kitab tersebut Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani berkali-kali menyebut nama Syeikh Nuruddin ar-Raniri dan hanya sekali menyebut nama Syeikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani pada bahagian nota.
.
Kifayah al-Muhtaj selesai ditulis oleh Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani di Makkah al-Musyarrafah, pada hari Selasa, antara waktu Zhuhur dan ‘Ashar, 27 Muharram 1224 H. Kitab ini merupakan terjemahan Risalah Najmiddin al-Ghaithi dan syarahnya oleh Syeikh Ahmad Syihabuddin al-Qalyubi. Selain merupakan terjemah, Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani juga menggunakan kitab-kitab lain sebagai rujukan.
.
Setiap tahun dari dulu hingga sekarang di beberapa tempat di dunia Melayu apabila memperingati Isra' dan Mi‘raj masih ramai para penceramah menggunakan Kifayatul Muhtaj. Ada orang menggunakannya sebagai rujukan, atau petikan sesuatu yang akan diceramahkan bahkan ada pula membacakannya kepada khalayak secara keseluruhan dari awal kitab hingga ke akhirnya. Ini adalah sebagai bukti begitu besar pengaruh kitab Kifayah al-Muhtaj atau pun pengaruh penyusunnya Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani".
.
(Artikel ini dipetik dari makalah berjudul 'Israk Mikraj dan Kebangkitan Ummah', oleh TG Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah, yang dibentangkan beliau dalam 'Munaqasyah Sufi Peringkat Kebangsaan 2004', pada 4 Rejab 1425 H/ 20 Ogos 2004, anjuran Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus).
No comments:
Post a Comment