https://www.facebook.com/alkhalidisufiorder/posts/10154014987812247
ILMU (Bab2).
Hukum mempelajari ilmu pengetahuan
Dari segi hukum syariatnya, ilmu dapat dibahagi kepada tiga kategori, yakni ilmu yang diperintahkan untuk dipelajari, ilmu yang dilarang untuk dipelajari dan ilmu yang disunnahkan untuk dipelajari.
a. Ilmu-ilmu yang diperintahkan untuk dipelajari.
Ilmu-ilmu yang diperintahkan untuk dipelajari dibahagi kepada dua kategori, yakni yang Fardhu ‘ain dan yang Fardhu kifayah. Ilmu-ilmu yang masuk dalam kategori Fardhu ‘ain adalah semua ilmu yang setiap mukalaf harus mempelajarinya.
Sebelum menghuraikan kategori ilmu-ilmu yang tergolong dalam fardhu ‘ain ini, terlebih dahulu kita harus memahami kaedah-kaedah dasar yang berkaitan dengannya. Diantaranya adalah kaedah, “sesuatu yang menjadi bahagian terpenting bagi sempurnanya kewajiban, maka ia menjadi wajib.”
Kaedah yang lain lagi adalah, “ilmu itu mengikuti isinya.” Ilmu yang menghantarkan sesuatu kepada yang wajib, hukumnya menjadi wajib. Dan ilmu yang menghantarkan kepada yang sunnah menjadi sunnah.
Berpegang kepada kaedah-kaedah ini, berikut penulis menghuraikan ilmu-ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap mukalaf:
1- Mempelajari akidah Ahli Sunnah beserta dalil-dalinya secara global (keseluruhan) dalam setiap masalah keimanan, agar dia dapat keluar dari jerat taklid dan menjaga imannya dari pengaruh orang-orang kafir dan orang-orang sesat yang senantiasa menghembuskan keraguan terhadap imannya.
2- Mempelajari ilmu-ilmu yang menjadikan seorang mukalaf dapat menunaikan ibadah-ibadah yang diwajibkan kepadanya, seperti solat, zakat, haji, puasa dan lainnya.
3- Orang yang melakukan pelbagai muamalah, seperti jual beli, sewa menyewa, pernikahan, penceraian dan lainnya, wajib mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya, agar dapat menghindari yang haram dan patuh kepada syariat.
4- Mempelajari keadaan-keadaan hati, seperti tawakal, takut dan redha. Sebab seorang muslim akan berhadapan dengan keadaan-keadaan hati itu sepanjang umurnya.
5- Mempelajari semua akhlak yang baik dan akhlak yang tercela, agar dia dapat melaksanakan akhlak yang baik, seperti tawakal kepada Allah, redha kepadaNya, pasrah kepadaNya, rendah hati, penyantun dan lainnya, serta menghindari akhlak tercela, seperti sombong, dendam, kikir (kedekut), dengki, riak dan lainnya. Dengan demikian, dia dapat berjuang melawan hawa nafsunya dan meninggalkannya. Hukum berjuang melawan hawa nafsu adalah wajib bagi setiap mukalaf.
Dan itu tidak mungkin dapat tercapai kecuali dengan adanya pengetahuan tentang akhlak-akhlak yang terpuji dan yang tercela, serta pengetahuan tentang teknik-teknik berjuang melawan hawa nafsunya, sebagaimana yang telah dilakukan oleh para sufi yang terkenal.
Oleh kerana itu, Abu Hasan asy-syadzili berkata, “Barangsiapa tidak menyelam dalam ilmu kami ini (Tasawuf), maka dia akan mati dalam keadaan melakukan dosa besar, sedang dia tidak menyedarinya.”
Kita tahu bahawa dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji ada yang bersifat lahiriah, seperti zina dan meminum minuman keras, dan ada yang bersifat batin, seperti sombong dan kemunafikan. Oleh kerana itu, Allah melarang kita dari keduanya, sebagaimana terakam dalam, “Dan janganlah kalian mendekati perbuatan-perbuatan keji, baik yang nampak ataupun yang tersembunyi.” (Al-An’am:151)
Orang yang melakukan perbuatan-perbuatan keji yang nampak akan bertaubat, kerana dia mengetahui bahayanya. sedangkan orang yang melakukan perbuatan-perbuatan keji yang tidak nampak, kadang hidup dalam waktu yang lama tanpa berfikir untuk bertaubat, kerana dia tidak mengetahui hukumnya atau tidak merasakannya.
Sedangkan ilmu-ilmu yang tergolong dalam Fardhu kifayah adalah semua ilmu yang apabila telah dipelajari oleh sebahagian orang, maka kewajiban bagi yang lainnya gugur. Dan apabila tidak seorang pun mempelajarinya, semua berdosa.
Ilmu-ilmu yang tergolong dalam Fardhu kifayah adalah ilmu-ilmu yang kebaikan umat bergantung padanya, seperti mendalami ilmu fiqh diatas kadar keperluan. Demikian juga ilmu tafsir, hadis, usulfiqh, akidah, ilmu hisab, ilmu kedoktoran/perubatan, ilmu ekonomi, ilmu persenjataan dan lainnya.
(Haqaiq Anil Tasawuf)
No comments:
Post a Comment