https://www.facebook.com/syed.m.alattas/posts/10154035591766221
Kurniakanlah hambamu sezarah dari cintamu wahai Tuhanku,
Supaya tiadalah aku terus tenggelam dalam ghaflah dan lupa,
dan mengenang semula akan perjanjian yang asal.
Biarlah ia mensucikan qalbu supaya terhakis darinya akan cinta yang dasyat terhadap dunia
Dan takut yang tidak munasabah untuk bersua denganmu.
Kurniakanlah bagi diriku sezarah dari Rahmat mu, yang memperkuat Roh dan jasad untuk mendekat kepada sekalian yang rapat dengan mu,
Supaya mampu bersabar mendampingigolongan yg memanggilmu malam dan nahar,
yang hatinya bersinar,
Yang sinaran suria cahayamu
sentiasa menyinari wajahnya,kalamnya,af'alnya,sifatnya,zatnya,rahsianya.
Kurniakanlah sezarah dari cintamu yang mampu memalingkanku dari keindahan fani
Dunia sementara ini.
Biarlah ia memperkuatku untuk mendekat dengan ahli ilmu yang mampu membawaku terbang ke ufuq tertinggi mengenali alam ulya yang lebih hakiki.
Biar zarah cinta itu mencukupkan daku sehingga yang berat terasa mudah yang susah tidak mengundang resah, biar ia menjadi penggilap hatiku menjadikan ia cermin menangkap segala yang terindah.
Kurniakanlah sezarah dari cintamu yang mencabut dariku kejahilan yang basit mahupun yang murakkab,
Hampakanlah kalbuku dari segala perosak dan perangkap,
Biarlah tercabut darinya dengki,benci takabbur dan putus harap.
Tatkala semakin sempurna cintamu terpendam dalam diriku, tambahkanlah akannya ya rab!
Supaya nanti menang daku akan nafsu ammarah kerana kalau sendiri aku melawannya aku lelah,
kerana ia sudah mesra dengan qarinnya menghasut ia,
mahu menjadi raja,
mahu hidup kaya
mahu berkuasa!
Kirimkanlah diriku kepada guru yang sempurna supaya dapat aku ditempa,
Untuk kembali kepada hakikatku sebagai hamba,
Kerana itulah bahagia.
No comments:
Post a Comment